SIK: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sudah menghantar notis tuntutan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana memfitnahnya dalam isu unsur nadir bumi (REE) dan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Muhammad Sanusi berkata, peguamnya telah menghantar notis berkenaan melalui e-mel kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu semalam dan akan melakukan serahan tangan kepada beliau pada hari ini.
“Kalau dia tak jawab dalam tempoh diberikan (seminggu) kita akan mulakan proses saman, wajib dah saman, tak boleh biar dah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di sini malam tadi.
Sabtu lalu, Saifuddin melabel Muhammad Sanusi sebagai pencuri REE ketika berceramah di Guar Chempedak, dekat sini sebelum disusuli dengan pendedahan berkaitan kegiatan terbabit tidak lama kemudian.
Sebelum itu, Saifuddin turut mendakwa Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menggunakan peruntukan Marris berjumlah RM1.6 bilion yang sepatutnya bagi tujuan penyelenggaraan jalan kepada perkara lain.
Susulan itu, Muhammad Sanusi berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung dua isu terbabit sebelum Saifuddin tidak lama kemudian turut mengalu-alukan tindakan yang mahu diambil terhadapnya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, serangan yang dihalakan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terhadap beliau adalah kerana mereka mencemburi pencapaian negeri Kedah.
“Dia (Saifuddin) tuduh saya, dia kata kita lantik jadi Menteri Besar suruh mentadbir negeri bukan menjadi pencuri REE.Dia tuduh saya mencari pencuri REE, kes REE satu.
“(Kedua) tuduh saya guna peruntukan Marris RM1.6 bilion yang patut jadi duit penyelenggaraan jalan dia kata buat benda lain walaupun duit tu semua dari merdeka lagi konon semua itu saya guna untuk buat benda lain.
“Dia longgok kesalahan menteri-menteri besar UMNO sebelum 2014 semuanya atas kepala saya pada hal saya tak tau apa pun. Hang tunggu Pudin (Saifuddin) hang tunggu, selamat menjawab, dia ingat dia seorang reti menyerang, ” katanya. –UTUSAN