Sambutan Hari Pahlawan 2023 berlangsung penuh istiadat

Sambutan Hari Pahlawan 2023 berlangsung penuh istiadat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini berkenan berangkat ke istiadat perbarisan sambutan Hari Pahlawan Tahun 2023 di Dataran Pahlawan Negara, di sini.

Perbarisan Hari Pahlawan hari ini membabitkan 18 pegawai dan 652 anggota lain-lain pangkat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia, Persatuan Veteran ATM, Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia yang diketuai oleh Superintendan Rezuan Juragan.

Istiadat dimulakan dengan lagu Negaraku dengan diiringi 21 das tembakan yang disempurnakan oleh anggota ATM dan disusuli pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Al-Sultan Abdullah.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai ‘last post’ dengan menurunkan Jalur Gemilang serta alunan deklamasi sajak berjudul ‘Pahlawanku’ oleh Sarjan Roseshini Kasim dan Pegawai Waran 1 Yomen Marzelan Md Jusoh.

Istiadat kemuncak diteruskan dengan persembahan pantomim mengenai pengorbanan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam insiden serangan hendap oleh kumpulan pengganas Royal Sulu Force (RSF) di Perkampungan Ai Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac 2013.

Pertempuran berdarah itu mengorbankan Allahyarham Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Koperal Mohd Azrul Tukiran, Deputi Superintendan Micheal Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamid, Sarjan Mejar Abdul Aziz Sakirun dan Sarjan Salam Togiran.

Isteri serta anak-anak Allahyarham dan mendiang yang terkorban dalam insiden pada 10 tahun lalu itu turut hadir bagi memberi penghormatan.

Suasana sedih dan pilu terserlah pada wajah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah ketika menonton persembahan menyayat hati oleh 150 pegawai dan anggota Cawangan Khas, Unit 69 Komando, Pasuka Gerakan Udara dan Pasukan Gerakan Am itu.

Malah, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah turut mencemar duli turun dari pentas untuk bertemu dan menyantuni isteri dan anak-anak anggota dan pegawai yang terkorban dalam insiden itu.

Bagi menghargai jasa dan sifat keperwiraan kepada negara, Yang Di-Pertuan Agong ke 14, Almarhum Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Sultan Badlishah telah berkenan mengurniakan bintang Panglima Gagah Berani kepada mereka pada 2 Disember 2014.

Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN