Saifuddin alu-alukan saman daripada Sanusi

Saifuddin alu-alukan saman daripada Sanusi

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah mendengar taklimat serta meninjau kemajuan Projek Menaiktaraf LRA Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengalu-alukan tindakan undang-undang yang mahu diambil oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadapnya dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan banyak persoalan yang masih perlu dijawab oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu kerana beliau tidak boleh dengan mudah menyatakan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah tiada kaitan dalam kejadian itu.

Katanya, fakta yang tidak boleh diubah dalam kes kecurian REE di Kedah adalah tidak ada syarikat yang diberikan lesen eksport sehingga mineral yang diperolehi secara tidak sah itu boleh dibawa sehingga ke Pelabuhan Klang.

“Fakta lain sebahagian yang ditangkap telah dibuat pertuduhan di bawah subseksyen berkaitan, fakta berikutnya memang benar MBI Kedah diberikan notis kompaun oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG).

“Fakta berikutnya MBI Kedah antara berbelas syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri, sama ada meneroka atau mencari gali, tetapi yang paling jelas kesemua yang memperolehi lesen itu tidak ada kebenaran lesen melombong,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama di sini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyatakan beliau akan membuat laporan polis terhadap kenyataan Saifuddin yang mendakwa Menteri Besar Kedah itu dikenakan kompaun berjumlah RM500,000 oleh PTG kerana mencuri REE di Kampung Chong, Sik.

Namun, Muhammad Sanusi memaklumkan MBI Kedah yang mana beliau selaku pengerusinya bukan dikompaun atas kesalahan mencuri nadir bumi tetapi disebabkan anak syarikat kerajaan negeri itu adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.

Tambah Saifuddin, belum ada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan nadir bumi yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim seperti dimaklumkan sendiri oleh Muhammad Sanusi bahawa mereka sedang menunggu perkara itu.

“Datuk Seri Sanusi selalu sebut bahawa kerajaan Kedah sedang tunggu SOP yang perlu dibangunkan sebab mineral REE ini penemuan baharu bukan sahaja di Kedah tetapi banyak negeri di semenanjung.

“Malah yang ditangkap sebelum ini termasuk warga asing dan mereka ada yang visa kerja dikeluarkan daripada perakuan MBI Kedah. Masuk bekerja betul diuruskan oleh MBI dan syarikat (usahasama) berkenaan dan (akhirnya) ditangkap mesti ada sebab antaranya ceroboh hutan simpan yang kalau masuk tanpa permit jabatan hutan boleh ditangkap, itu realiti Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN