‘Rumah ini tak guna duit Sanusi’ - Shabudin

‘Rumah ini tak guna duit Sanusi’ – Shabudin

SHABUDIN Mohd. Nor di hadapan rumah baharunya ketika ditemui di Kampung Batu 8, Sik. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor tampil menafikan banglo yang dibina olehnya di Kampung Batu Lapan, Sik, di sini menggunakan wang adiknya seperti yang dinyatakan beberapa pihak.

Shabudin, 57, berkata, rumah di tapak berkeluasan 4,000 kaki persegi yang mempunyai enam bilik itu adalah hasil titik peluhnya yang disimpan sejak sekian lama kerana ingin merealisasi impian untuk membina sebuah rumah yang selesa kepada isteri dan enam anak mereka.

“Tanah dan rumah lama di sini pun adalah pusaka daripada ibu mertua saya yang diberikan kepada isteri. Sebelum ini kami menetap di Sungai Petani dan apabila bapa mertua meninggal dunia kami pulang ke kampung ini untuk menjaga ibu mertua setelah mencapai kata sepakat tetapi ibu juga sudah meninggal dunia sebelum Ramadan lalu.

“Berita tentang harga rumah sehingga RM7.8 juta itu tak betul, sebut harga pembinaan rumah ini hanya kira-kira RM800,000 sahaja, setelah ditambah perkakasan hanya sekitar RM1 juta. Kalau harganya RM7.8 juta, baik saya jual saja rumah ini, lagi untung,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Shabudin berseloroh, Muhammad Sanusi memang ada kaitan dengannya kerana beliau merupakan abang kandungnya, tetapi menegaskan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu tiada kaitan dengan pembinaan rumahnya.

Katanya, rumah hasil simpanan gajinya sebagai penyelam dasar laut di dalam dan luar negara itu dibina sejak Februari tahun lepas dan masih belum diduduki sepenuhnya sehingga sekarang kerana baru siap.

“Selepas berhenti kerja daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), saya bekerja sebagai penyelam komersial bermula tahun 1996 sehingga sekarang pun masih terlibat dengan aktiviti penyelaman di luar negara.

“Gaji yang saya terima bergantung kepada kontrak yang diperolehi, ada yang bagus gajinya dan ada yang kurang bergantung kepada keadaan syarikat yang menawarkan pekerjaan,” katanya.

Kata Shabudin yang berjawatan Diving Superintendent, gaji diterimanya tidak menentu namun kadang-kala boleh mencecah sehingga 1,000 dolar Amerika Syarikat (AS) atau paling kurang 300 dolar, namun dia enggan berkongsi jumlah sebenar gaji diterimanya.

“Oleh itu, saya menafikan rumah ini ada kaitan dengan Muhammad Sanusi, rumah saya ini tidak sebesar manapun, jadi janganlah memfitnahnya, di belakang rumah saya ini ada lagi rumah yang lebih besar dan mahal harganya, kenapa tidak dijadikan isu tetapi saya tahu ini hanya bermotifkan politik.

“Saya juga bukan ahli politik dan tidak kena mengena dengan kerjaya politik adik, saya hanya orang biasa sahaja, jadi hentikanlah fitnah ataupun isu yang tidak masuk akal ini kerana sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan harmoni saya seisi keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya