KOTA BHARU: Bas pelancong dari Thailand dibenarkan ke negara ini dengan mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat baru-baru ini yang meletakan permohonan kepada APAD sebagai syarat utama sebelum permit sementara dikeluarkan.
Menurutnya, peraturan itu terpakai kepada semua negeri termasuk ke Kuala Lumpur dan bukannya negeri sempadan Malaysia-Thailand semata-mata.
“Bagaimanapun, bas pelancong dari Thailand perlu mengemukakan maklumat tertentu termasuk pakej pelancongan yang diambil, bilangan penumpang serta lokasi penginapan.
“Yang kita sekat adalah van dari Thailand kerana dibimbangi mereka masuk ke Malaysia dan akan mengambil penumpang menyebabkan industri pelancongan kita terjejas,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaiktaraf LTSIP Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) memberikan kebenaran kepada bas pelancong dari Thailand untuk masuk ke Kelantan berkuatkuasa serta-merta.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, kelonggaran itu diberikan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024) yang sedang berlangsung ketika ini.-UTUSAN










