MELAKA: Tempoh tahanan reman remaja berusia 14 tahun yang dipercayai mencekik adiknya sehingga mati di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu di sini, minggu lalu disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perintah reman sehingga 19 Julai itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
“Tempoh reman yang berakhir hari ini (semalam) disambung sehingga 19 Julai depan. Kita akan rujuk kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Pada 6 Julai lalu, suspek yang juga pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah Arab di Alor Gajah itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik abang kandungnya sendiri ketika ibu bapa mereka tiada di rumah.
Kejadian tersebut disedari ibu mangsa yang melihat kejadian melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diakses menggunakan telefon pintarnya sebelum meminta pertolongan jiran untuk memeriksa keadaan dua beradik itu. – UTUSAN