REE: Saifuddin persoal PTG Kedah tidak siasat tangkapan kedua

REE: Saifuddin persoal PTG Kedah tidak siasat tangkapan kedua

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyampaikan ceramah sempena Majlis Pengenalan Calon PH dan BN serta pelancaran manifesto di Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah perlu memberi penjelasan terhadap tangkapan kedua kes kecurian unsur nadir bumi (REE) berjumlah 360 guni mineral itu yang dipatahkan pihak berkuasa pada 31 Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berbanding kes pertama pada 26 September tahun lalu yang menyaksikan kompaun dikenakan kepada pihak terlibat, kejadian pada awal tahun ini pula didakwa masih tidak diambil tindakan sehingga kini.

“Saya nak tanya Pengarah PTG (Kedah), kalau kes pertama (rampasan 185 guni) Perbadanan Menteri Besar (MBI) dikompaun, pasal apa kes 360 guni apabila dapat surat diberitahu berlaku kecurian (REE) sampai sekarang tak dibuka kertas siasatan di bawah Enakmen Mineral Negeri.

“Sampai hari ini sudah tujuh bulan kenapa PTG tak siasat, hang nak lindungi siapa wahai Pengarah PTG Kedah? Bahan bukti 360 guni masih ada di stor jabatan hutan. Kalau siasat akan sampai kepada (penglibatan) Huang Zhiyi,” katanya ketika berceramah pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Saifuddin mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk memberitahu sendiri status dua lelaki warga China, So Loi Fatt dan Zhiyi yang didakwa dibawa masuk sebagai kakitangan profesional menggunakan surat sokongan ditandatangani Muhammad Sanusi untuk terlibat dalam perlombongan REE.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi baru-baru ini memberi jawapan beliau tidak mengetahui perkara itu kerana tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam MBI Kedah walaupun berperanan sebagai Pengerusi perbadanan itu.

Terdahulu pada 17 Julai lalu, Pengarah PTG Kedah, Datuk Md. Suhaimi Abd. Rahman menjelaskan kompaun yang dikeluarkan terhadap kecurian REE pada tahun lalu tidak menyebut nama Muhammad Sanusi sebagai orang yang dikompaun, sebaliknya kompaun berjumlah RM500,000 itu dikenakan terhadap MBI Kedah.

Sementara itu ujar Saifuddin, tangkapan kedua itu juga bukan sahaja melibatkan siasatan Jabatan Perhutanan tetapi turut merangkumi polis dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Imigresen.

“Jabatan hutan, JMG dan polis siasat. Pengarah PTG pasai apa tak siasat. Apa yang lebih serius pekerja asing dibawa masuk itu adalah dengan cara diseludup melalui pintu masuk dan bekerja serta mencuri di Kompartmen 12 (Hutan Simpan Kekal Bukit Enggang).

“Berlaku jenayah penyeludupan manusia dalam hal ini yang membolehkan mereka ditahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau bersedia berhadapan dengan Muhammad Sanusi di mahkamah setelah Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menghantar notis tuntutan kepadanya melibatkan isu REE dan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN