Rafizi ambil mana data dakwa sokongan terhadap PN menurun?

Rafizi ambil mana data dakwa sokongan terhadap PN menurun?

IZIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) semakin menurun disifatkan tidak berasas dan jauh tersasar daripada hakikat sebenar.

Malah, Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Izizam Ibrahim secara sinis turut mempersoalkan di mana Rafizi memperolehi data kononnya sokongan terhadap PN semakin menurun.

Izizam berkata, momentum sokongan rakyat terhadap PN masih kuat khususnya dalam kalangan anak muda selain ramai yang mula melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran kerajaan di peringkat Pusat ketika ini.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi itu, beliau juga yakin selain mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah, PN juga mampu menawan Selangor dan Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Ramai mula merungut prestasi kerajaan Perpaduan ketika ini khususnya daripada aspek ekonomi, kos sara hidup dan pelbagai lagi yang cukup mengecewakan rakyat.

“Bagaimana Rafizi boleh kata sokongan rakyat terhadap PN boleh menurun dan daripada mana data beliau dapat. Saya rasa Rafizi mungkin sudah tersilap data,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, Rafizi mendedahkan peralihan luar biasa pengundi terhadap PN yang diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu sudah semakin mereda.

Ahli Parlimen Pandan itu juga mendakwa, data didedahkan setakat Jun lalu menunjukkan sokongan terhadap PN semakin menurun pada kadar yang ketara.

Menurut Rafizi, PN sepatutnya perlu lebih bimbang apabila persaingan sengit mungkin bakal berlaku di dua negeri dikuasai mereka iaitu Kedah dan Kelantan.

“Menerusi data awal, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan berada dalam keadaan selesa. Malah, tumpuan kami kini ialah bagaimana untuk menggugat prestasi PN di tiga negeri yang dikuasai mereka,” kata Rafizi.

Sebelum ini, Rafizi turut memaklumkan beliau akan mendedahkan data terperinci bagi membuktikan bahawa PH lebih mendapat sokongan berbanding PN menjelang PRN nanti.

Mengulas lanjut, Izizam berkata, PN berpeluang merampas Selangor dengan dijangka persaingan berlangsung sengit.

“Malah di Pulau Pinang juga PN mampu menguasai banyak kerusi khususnya di kawasan pengundi majoriti Melayu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN