KOTA BHARU: Seorang penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpaksa menangguhkan pengajian gara-gara menderita penyakit radang otak sejak empat bulan lalu.
Penyakit itu menyebabkan Azreen Afiza Azhari, 23, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Pejabat hilang upaya untuk bergerak.
Ibu pelajar berkenaan, Azizon Abd. Hamid, 46, berkata, Azreen Afiza merupakan harapan keluarga selepas anak sulungnya mendirikan rumah tangga.
“Semasa sihat, dia pernah menyatakan hasrat untuk membantu keluarga selepas tamat pengajian nanti. Namun cita-cita murni itu tidak kesampaian selepas Azreen Afiza disahkan mengalami radang otak yang serius sehingga menyebabkan kesihatannya semakin merosot,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Desa An-Nur Panji di sini semalam.
Azizon memberitahu, setiap sebulan dia memerlukan perbelanjaan RM2,500 untuk memenuhi keperluan anaknya itu seperti susu khas, lampin pakai buang dan peralatan perubatan.
Katanya, pada masa sama dia perlu membayar sewa penyedut kahak RM50 sebulan dan tambang ambulans RM200 untuk temu janji bersama pakar.
“Suami (Azhari Mahmood, 51) bekerja sebagai tukang rumah dengan upah RM 60 sehari. Walaupun pendapatan tidak seberapa, namun kami akan tetap berusaha bagi memastikan keperluan Azreen Afiza dapat dipenuhi.
Selagi terdaya, saya akan terus menjaga Azreen Azifa dan sentiasa berdoa semoga kembali sihat,” ujarnya.- UTUSAN