PETALING JAYA: Semua calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mengira parti perlu mengadakan satu persetujuan tidak akan mengeksploitasi isu 3R (agama, raja dan kaum).
Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, ia bagi memastikan tidak ada calon berkempen untuk menyebarkan kebencian sehingga mampu mengugat keamanan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum.
“Ini untuk memastikan tidak terjadinya satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei 1969 dan untuk mewujudkan satu mekanisme untuk mendedahkan penipuan, fitnah, berita palsu, serta ucapan kebencian dalam kempen pilihan raya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, semua parti politik dan calon yang bertanding dalam PRN tidak sepatutnya melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan masa depan generasi akan datang.
“Dalam mendekati enam PRN pada 12 Ogos ini, terdapat kecenderungan untuk berfikir dalam masa lampau dan bukannya untuk berfikir demi masa hadapan.
“Semua parti-parti politik dan calon-calon yang bakal bertanding patut bertindak secara bertanggungjawab kerana kita perlu berfikir mengenai generasi akan datang, sama ada Malaysia boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia untuk melahirkan juara dunia sekali lagi atau sama ada kita ditakdirkan menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup,” katanya.
Untuk rekod, PRN bakal diadakan di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Ia melibatkan 9,773,571 pemilih di enam negeri tersebut mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.
Kit Siang yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di tujuh kawasan sejak 1969 hingga 2022 itu berkata, Malaysia perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dunia.
“Tunjukkan kepada dunia, bagaimana dalam era media sosial, kita berjaya untuk tidak dibanjiri tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian semasa kempen pilihan raya.
“Marilah kita jadikan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, serta tamadun kepada dunia,” ujarnya. – UTUSAN