PRN: Pemuda UMNO harap 30 peratus kerusi DUN

PRN: Pemuda UMNO harap 30 peratus kerusi DUN

DR. Muhamad Akmal Saleh beramah mesra dengan penduduk setempat pada program sarapan pagi di Kampung Panchor, Pokok Sena. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Pemuda UMNO menaruh harapan untuk menampilkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon daripada sayap parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menjelang PRN tidak lama lagi.

“Kita sasar sekurang-kurangnya 30 peratus daripada calon yang dikemukakan UMNO nanti adalah calon muda dan daripada sayap Pemuda. Sudah tentu sasaran ini kena realistik, kena tengok sebab dan oleh sebab itu kita buat tinjauan ke enam negeri termasuk hari ini di Kedah.

“Tinjauan ini dibuat untuk melihat apa sentimen rakyat. Calon muda tetapi yang penting calon yang boleh menang. Kita kena ikut pemimpin itu bagaimana di sisi rakyat, kalau kita tengok kawasan itu mereka memerlukan pemimpin muda dan berketerampilan maka di situ kita akan bagi pemimpin muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri program Sarapan Pagi Bersama Penduduk Setempat di Kampung Panchor, di sini hari ini sempena lawatan ke Kedah.

Tambah Dr. Muhamad Akmal, Pemuda UMNO beranggapan bahawa kepimpinan UMNO ketika ini berfikiran terbuka termasuk dari segi penerimaan calon muka baharu dan muda daripada sayap parti itu.

“Saya percaya dalam UMNO sendiri kita sudah bersedia untuk bertindak di luar dari kotak pemikiran UMNO daripada yang sebelum ini. Calon itu adalah calon yang betul diterima oleh rakyat di bawahnya.

“Hasil daripada tinjauan kita ke enam negeri ini kita akan bentang dalam mesyuarat MKT. Ada kawasan yang merasakan bahawa pemimpin muda tak boleh lagi, maka kita akan kemukakan pemimpin lebih senior.

“Ada kawasan mereka mahukan pemimpin muda oleh sebab itu kita merasakan tujuan buat jelajah ini kita nak tengok apa dia aspirasi rakyat, kita nak tengok calon apa yang mereka mahukan,” katanya.

Menjelas lanjut, kata beliau, Pemuda UMNO juga mengadakan perbincangan di peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri yang terlibat dalam PRN itu untuk mengemukakan cadangan itu.

“Di Kedah, dalam minggu ini kita akan berjumpa dengan Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk berbincang calon Pemuda di sini,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tentang kebangkitan pengundi muda dalam PRU15 yang akan mempengaruhi keputusan PRN, kata beliau, golongan itu harus menolak sebarang kenyataan berbentuk retorik dan sebaliknya fokus kepada kesejahteraan masa depan mereka yang dahagakan pembangunan.

“Islam tidak ajar untuk negerinya mundur atau tidak ada bekalan air. Orang muda mahukan peluang pekerjaan, rumah dan kemudahan awam yang baik. Saya percaya orang muda mampu menilai apa yang baik dan apa yang buruk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN