PETALING JAYA: Masalah kehidupan rakyat seperti isu kos sara hidup, kenaikan harga barang, inflasi dan peluang pekerjaan antara kandungan dalam manifesto gabungan Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya negeri (PRN), kali ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika PN dipilih mewujudkan sebuah kerajaan selepas PRN pada 12 Ogos ini, mereka akan mengotakan janji-janji dalam manifesto parti itu.
“Insya-Allah jika terpilih nanti kita mahu mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang adil, saksama, efektif dan menunaikan apa yang telah kita janjikan dalam manifesto PN.
“Apa yang paling penting ialah bertindak cepat untuk menangani masalah kehidupan rakyat seperti isu kos sara hidup, kenaikan harga barang, inflasi, peluang pekerjaan serta hal-hal yang berkaitan pemulihan ekonomi negara.
“Semua ini terkandung dalam Manifesto PN yang akan kita lancarkan tidak lama lagi. Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan semua calon yang mewakili PN akan menang dan dapat membentuk kerajaan negeri yang dipimpin oleh PN, insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, misi menawan enam negeri bermula hari ini apabila 245 kerusi menjadi rebutan calon-calon parti politik yang bertanding pada PRN 12 Ogos ini. – UTUSAN










