GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi sokongan kepada tiga calon Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) yang bertanding tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak.
Perdana Menteri tiba pada pukul 8.50 pagi dan kemudian bersama tiga calon berkenaan menuju ke pusat penamaan calon di SMK Sungai Pusu.
Anwar hadir untuk memberikan sokongan kepada calon BN Gombak Setia,Datuk Megat Zulkarnain Omardin; calon PH Sungai Tua, Datuk Amirudin Shari dan calon PH Hulu Klang, Juwairiya Zulkifli.
Lebih 1,000 penyokong BN-PH juga hadir memberikan sokongan.
Turut hadir para pemimpin parti-parti kerajaan Perpaduan antaranya Presiden Parti Gagasan Rakyat (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Parti Bangsa Malaysia, Datuk Larry Sng dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony.
Megat Zulkarnain akan bertanding di kerusi DUN Gombak dan bertembung dengan penyandang, Hilman Idham dari PN.
Selain itu, Amirudin yang merupakan Menteri Besar Selangor mengesahkan mempertahan Sungai Tua manakala PN pula mempertaruh Muhammad Hanif Jamaluddin.
Seperti dijangka, Juwairiya berdepan Mohamed Azmin yang berpindah kawasan dari Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang. – UTUSAN