JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) tiada masalah untuk bertanding dalam jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kurang berbanding UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, bulan depan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, hal itu kerana persefahaman telah dicapai iaitu setiap parti terlibat akan bertanding di kerusi dimenangi mereka, sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, Amanah tidak mempunyai masalah dengan agihan kerusi antara parti-parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan.
“UMNO memang bertanding lebih banyak kerusi sebenarnya kerana mereka menang banyak, ambil sahaja contoh di Negeri Sembilan, banyak kerusi mereka menang sedangkan Amanah hanya tiga sahaja.
“Jadi tidak timbul sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare Sdn. Bhd. di pusat beli belah Paradigm Mall, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN) bakal bertanding lebih 100 kerusi dalam PRN enam negeri, iaitu kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan 245 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor turut memberitahu, Amanah dijangka bertanding di lebih 30 kerusi.
“Amanah dijangka bertanding tujuh kerusi di Kedah, sembilan di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, tujuh atau lapan kerusi di Kelantan manakala tiga atau empat kerusi di Terengganu.
“Keputusan muktamad bagaimanapun hanya akan diumumkan selepas mesyuarat majlis tertinggi dilakukan dalam tempoh beberapa hari akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Salahuddin turut memberitahu, seramai kira-kira 800 jentera Amanah Johor akan digerakkan ke tiga negeri untuk membantu jentera Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang.
“Kita akan gerakkan jentera-jentera ini untuk bantu fokus kempen PRN di Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. Tiga lagi negeri lain akan dibantu jentera Amanah negeri lain yang tidak terlibat PRN,” jelasnya lanjut. – UTUSAN