ARAU: Seramai 56 kakitangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melaksanakan kaedah potongan gaji selama 10 bulan bagi membolehkan mereka menyertai ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, tahun ini.
Dengan potongan gaji RM90 sebulan bagi bahagian lembu dan RM110 bagi kambing, wang yang dikumpul itu mampu membeli 13 ekor lembu dan 15 ekor kambing untuk ibadah korban dan akikah.
Program tersebut diadakan di Dataran Kampus Kubang Gajah Unimap di sini kelmarin.
Gotong-royong ibadah korban tersebut melibatkan 200 kakitangan Unimap bagi melicinkan proses penyembelihan seterusnya daging diagihkan kepada rumah-rumah anak yatim dan fakir miskin di sekitar Kubang Gajah serta para petugas.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (Pimpin) Unimap, Muhammad Adib Hassan berkata, amalan melalui potongan gaji itu dilaksanakan Unimap sejak 2008 dan saban tahun Pimpin menerima penyertaan memberangsangkan.
Katanya, Unimap antara universiti yang mempraktikkan kaedah berkenaan yang mampu menarik lebih ramai penyertaan untuk sama-sama melakukan ibadah korban.
“Kakitangan Unimap terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaedah ini (potongan gaji) sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka (kakitangan) yang berniat untuk menjalani ibadah korban.
“Sekiranya bayaran tunai sahaja yang dilakukan, sukar untuk peserta memberi komitmen berikutan faktor-faktor kewangan masing-masing,” katanya semalam.
Agihan daging korban tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Unimap, Prof. Dr. Rizalafande Che Ismail.
Menurut Muhammad Adib, sambutan daripada pihak luar dalam menyertai ibadah korban itu sangat baik malah ada yang masih kekal antara lima sehingga enam tahun melaksanakannya di Unimap.
“Pimpin bersyukur dan mendoakan kesejahteraan kepada semua peserta yang melakukan ibadah korban sama ada di Unimap atau di tempat lain.
“Ibadan korban melalui potongan gaji ini tidak membebankan malah lebih mudah untuk diuruskan,” katanya. – UTUSAN