PETALING JAYA: Ketidakstabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 mungkin mendorong kumpulan mendakwa waris Kesultanan Sulu berani menuntut pampasan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) daripada kerajaan.
Ia secara tidak langsung membuka peluang kumpulan tersebut menggunakan helah di sebalik undang-undang demi menjayakan matlamat mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, pemimpin negara mesti bertegas menangkis segala tindakan dilakukan kumpulan Sulu.
Menurutnya, melihat tindakan berani Sulu, ia boleh diselesaikan kerana mereka tidak mempunyai asas undang-undang kuat menuntut pampasan berkaitan pajakan Sabah.
“Mungkin keberanian Sulu ini disebabkan ketidakstabilan politik sejak 2018 yang mana kerajaan selepas itu kerap bertukar-tukar. Sebab itu, pemimpin perlu bertegas dan bertindak sebagai pemimpin negara, bukan sekadar pemimpin parti politik.
“Namun tuntutan waris Sulu tidak munasabah dan hujah mereka boleh dipatahkan. Jadi saya berpendapat, Malaysia memiliki hujah kuat untuk berdepan tuntutan mereka,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berbeza pendapat apabila melihat tiada hubung kait antara ketidakstabilan politik negara dengan isu tuntutan itu.
Sebaliknya kata Azmi, kumpulan berkenaan mendapat bantuan kewangan, guaman dan pakar undang-undang antarabangsa manakala Manila pula tidak campur tangan.
“Tidak banyak kaitan antara kerajaan saling bertukar kerana waris Sulu ini mendapat bantuan peguam antarabangsa. Dalam hal ini, dikatakan tiada campur tangan dari Manila yang membuatkan kumpulan tersebut semakin galak.
“Oleh itu saya lebih melihat tiada campur tangan dari Manila yang membuatkan mereka semakin berani,” katanya.
Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda baru-baru ini menolak permohonan kumpulan mendakwa waris Sultan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Final Award timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion. – UTUSAN