PRN: PN sasar pengundi UMNO, cipta kejutan tadbir semua enam neger

PRN: PN sasar pengundi UMNO, cipta kejutan tadbir semua enam negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) meletakkan dua sasaran utama dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini,  iaitu meraih semua undi daripada pengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta mencipta kejutan mengekalkan pentadbiran dan menawan enam buah negeri.

Ketua Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sasaran itu berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila sebahagian besar pengundi UMNO memilih PN.

Justeru, katanya, jika sebilangan besar pengundi UMNO dapat diraih, tidak mustahil PN dapat mengekalkan penguasaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Dengan gelombang yang sedang terbentuk ketika ini dan dalam analisis semasa, kita boleh menang 33 daripada 36 kerusi di Kedah. Kalau gelombang makin besar, tidak mustahil 36-0.

“Di Kelantan juga tidak mustahil kita sekali lagi kuasai 45-0, di Terengganu kita boleh buat kejutan rampas semua 10 kerusi dimenangi BN. Di Pulau Pinang, kita hanya perlu dapat 21 kerusi untuk bentuk kerajaan dan dia ada 15 kerusi majoriti Melayu.  Jadi perlu cari enam kerusi sahaja,” katanya ketika hadir Sesi Bersama Sanusi secara maya sempena PRN malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata, PN  sudah membuat kejutan meraih kemenangan di tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang, justeru beliau yakin DAP turut gusar dengan potensi kehilangan beberapa kerusi pada PRN kali ini.

“Di Selangor, yang kita nak adalah pengundi UMNO dan BN beralih semuanya kepada PN. Begitu juga 36 kerusi di Negeri Sembilan, tidak mustahil kita kuasai.

“Ini sasaran PN dalam PRN ini dan saya harap jentera kita tidak kira parti bekerja sungguh-sungguh membuktikan kita boleh menang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN