PMKS sumbang RM520 bilion kepada KDNK - Utusan Malaysia

PMKS sumbang RM520 bilion kepada KDNK

AHMAD Zahid Hamidi (dua kanan) melawat ke ruang pameran selepas merasmikan Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka. Turut sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (kanan). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara sebanyak RM520 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga bersamaan dengan sumbangan sebanyak 38 peratus daripada KDNK negara.

Menurut beliau, PMKS memerlukan bantuan dan sokongan semua pihak bagi memastikan mereka dapat melebarkan sayap ke luar daripada pasaran tempatan.

“Sektor ini memberi pekerjaan kira-kira 7.3 juta guna tenaga atau pekerja. Tentunya apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) diteruskan untuk melaksanakan pertanggungjawaban bagi membantu usahawan, bukan hanya sekadar melaras usaha-usaha keusahawanan termasuk memberi pembiaan, pemantauan dan latihan.

“Tetapi yang lebih penting ialah Kuskop harus bersama dengan pelbagai kementerian lain untuk menjadikan PMKS di Malaysia ini harus tidak hanya memandang pasaran domestik, kita harus pergi ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu hadir bagi merasmikan Minggu Usahawan Negara (MUN) dan PMKS di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Kuskop dan agensi terlibat perlu mencari dana dan membantu PMKS menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau turut menyaran PMKS merebut peluang perniagaan dalam talian memandangkan teknologi dalam Malaysia sedang berkembang.

“Peluang ini harus turut diambil oleh usahawan yang ada di negara kita. Begitu juga dengan sokongan eksport.

“Kita dapati eksport PMKS telah meningkat pada 2020 yang ketika itu RM117.8 bilion, ia terus meningkat kepada RM124.3 bilion. Ini merupakan satu perkembangan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa beliau akan membantu Kuskop mendapatkan peruntukan yang lebih dalam belanjawan yang bakal dibentangkan Oktober ini supaya usaha untuk membantu PMKS dapat dilaksanakan.

“Saya berjanji, saya akan membantu Kuskop untuk memperoleh peruntukan tambahan ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya