PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput warga Kedah khususnya anak-anak muda untuk menyertai sesi ‘Temu Anwar’ di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Sabtu ini.
Perdana Menteri berkata, pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web temuanwar.com.
“Saya ingin menjemput anak-anak muda negeri Kedah untuk turut sama dalam sesi ini dan bertanya soalan kepada saya serta memberi pandangan atau teguran membina kepada Kerajaan. Kita jumpa Sabtu ini!,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sebagai rekod, ‘Temu Anwar’ adalah program dialog anak muda bersiri yang dilaksanakan sejak 2009 dan terus mendapat sambutan sehingga kini.
Temu Anwar diadakan khusus bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutama anak muda bertanyakan soalan secara terus kepadanya dan disiarkan secara langsung. – UTUSAN