KOTA BHARU: Wanita yang didakwa bertindak ‘memadukan’ suaminya sebenarnya sudah bercerai dengan suami pertama sejak Jun 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pengesahan itu diperoleh hasil keterangan wanita berkenaan serta bekas suami.
Katanya, kedua-dua individu telah memberi kenyataan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) semalam.
“Wanita itu telah sah bercerai dengan suami pertamanya pada Jun 2022. Perkahwinan dengan lelaki lain pula berlangsung di Thailand pada tahun 2024.
“Jadi wanita itu tidak punyai dua suami, hanya seorang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Asri berkata, siasatan berkaitan dengan hal-hal lain masih dalam tindakan.
“Untuk setakat ini selesai dahulu tindakan berkaitan urusan pendaftaran kahwin,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Jaheaik sudah mengambil dan merekodkan percakapan seorang wanita yang didakwa ‘memadukan’ suaminya. – UTUSAN









