KUALA LUMPUR: Langkah menamakan ahli Parlimen sebagai calon Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibenarkan kerana tiada undang-undang yang menghalang perkara tersebut berlaku.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, ia adalah strategi parti masing-masing selain mengikut kemampuan seseorang calon tersebut.
Hal ini kerana, jelasnya lagi, misi utama yang perlu menjadi fokus adalah menang di sesebuah kawasan yang ditandingi.
“Itu terpulang kepada strategi masing-masing. Kalau perlu, maka mereka boleh bertanding juga di DUN.
“Ia terpulang kepada parti masing-masing kerana dalam undang-undang, ia dibenarkan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Guan Eng kini merupakan Ahli Parlimen Bagan dan beliau juga merupakan penyandang bagi DUN Air Putih di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika dihubungi berkata, Perikatan Nasional (PN) mengambil pendekatan bukan ahli parlimen untuk menjadi calon ADUN kali ini.
Ia bertujuan bagi setiap individu yang dipilih menjadi wakil rakyat itu benar-benar fokus dengan tugas masing-masing, sama ada di peringkat Parlimen mahupun di peringkat DUN.
“Kita akan serius dalam menentukan calon-calon dan letakkan calon mampu memberi perkhidmatan apabila kita diberi mandat. Maka, tentunya dalam PN, kita ada pemimpin yang cukup di peringkat akar umbi.
“Jadi tentunya kita harap dalam kalangan ahli parlimen, yang sudah pun ada jawatan, beri fokus kepada jawatan masing-masing. Tetapi jika ada keperluan yang mendesak, kita tidak menolak perkara tersebut,” ujarnya.-UTUSAN