PETALING JAYA: Permohonan baharu untuk Malaysia Digital Acceleration Grant (MDAG) 2023 telah dibuka bermula 14 Julai sehingga 28 Julai 2023.
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membuka permohonan untuk memacu pertumbuhan syarikat digital dan teknologi berstatus Malaysia Digital (MD) di peringkat pengkomersialan.
Menurut MDEC, geran ini selaras dengan inisiatif strategik nasional MD yang memberi tumpuan untuk memacu pelaburan dan mewujudkan pekerjaan baharu bernilai tinggi bagi mencapai aspirasi ekonomi digital negara sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.
“MDAG 2023 menyediakan pembiayaan yang diperlukan oleh pemain industri untuk meningkatkan operasi melalui penggunaan teknologi berterusan.
“Malah inovasi ekosistem digital negara dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat selaras dengan konsep Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, geran yang berpandukan Strategi Pelaburan Malaysia Digital bakal wujudkan lebih banyak syarikat teknologi di peringkat serantau bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Inisiatif ini juga selaras dengan strategi dan rangka kerja MD untuk memangkin pertumbuhan sektor tumpuan menerusi platform teknologi yang telah dikenal pasti.
Menurut MDEC, sebanyak 35 buah syarikat telah diluluskan sebagai menerima geran MDAG 2023 sejak diperkenalkan pada tahun 2022 dan syarikat yang ingin memohon MDAG perlu memiliki status MD.
Pemohon geran MDAG yang berjaya akan diumumkan dalam tempoh dua bulan dari tarikh tutup permohonan. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://mdec.my/grants/mdag. – UTUSAN