Perak perlu nilai semula keputusan tanah wakaf sebagai TRM

Perak perlu nilai semula keputusan jadikan tanah wakaf sebagai TRM

HISHAMUDDIN Hashim mempersoalkan kewajaran Kerajaan Negeri Perak menjadikan tanah wakaf sebagai TRM menerusi rakaman video di aplikasi media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Kerajaan Negeri Perak menilai semula keputusan mereka menjadikan tanah wakaf sebagai tanah rizab Melayu (TRM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, langkah itu perlu diambil susulan hasrat kerajaan negeri itu yang mahu menjadikan 800 hektar tanah wakaf saraan bagi masjid seluruh negeri itu sebagai TRM.

Justeru, katanya, tindakan itu menjadi pertikaian terutamanya kewajaran dari sudut perundangan dan syarak untuk mengambil tanah wakaf saraan bagi tujuan mengkategorikan sebagai TRM.

“Hukum yang telah dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam kali ke-46 pada 22 April 1999 mengatakan bahawa tanah wakaf tidak boleh sama sekali dipindah milik kecuali kerana darurat yang memerlukan demikian berdasarkan syarat-syarat tertentu.

“Ini bermaksud tanah wakaf ini tidak sewenang-wenangnya diambil oleh pihak berkuasa melainkan atas nama darurat.

“Persoalannya, adakah untuk memenuhi kuota atau kepentingan TRM maka tanah wakaf diambil…adakah perkara ini dikira sebagai darurat? Ini adalah kepentingan untuk melengkapkan atau memenuhi kehendak politik menyatakan bahawa TRM telah bertambah,” katanya menerusi rakaman video di aplikasi media sosial.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilapor berkata, Pejabat Tanah dan Galian Perak berjaya membuat rundingan untuk mewartakan kawasan seluas 800 hektar di Gunung Bersout, Batang Padang yang merupakan wakaf saraan bagi masjid seluruh negeri itu sebagai kawasan tambahan TRM.

Oleh itu, Saarani berkata, cadangan pewartaan itu akan diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Hishamuddin berkata, keputusan itu juga tidak wajar dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 89 2A yang mengatakan bahawa TRM sepatutnya diambil daripada kawasan tanah yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam.

“Ia secara tidak langsung bermaksud tanah yang bergeran atau yang ada kepentingan terus kepada masjid tidak wajar dimasukkan dalam TRM,” katanya.

Jelas beliau, MHO suka keluasan TRM bertambah, tetapi bukan dengan mengambil tanah yang merupakan wakaf yang diberikan oleh individu atas tujuan saraan kepada kepentingan agama dan masjid.

“Jika begitu, lebih bagus ambil tanah kubur serta tanah rizab sungai (dan) masukkan semua sekali jadikan sebagai TRM…hanya kerana nak memenuhi kuota atau kempen menunjukkan bahawa jumlah TRM bertambah.

“Adakah ini merupakan satu kempen semata-mata, tetapi bukan mencapai hasrat sebenar untuk memberi kepentingan terhadap TRM?

“Kami cadang kerajaan negeri memperbanyakkan lagi tanah rizab Melayu dengan mengambil tanah yang lain…tanah yang belum diwartakan, tanah yang sudah diceroboh atau tanah yang tidak ada kepentingan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya