PUTRAJAYA: Sekumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikenali ‘Bossku’ menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, sebagai ahli UMNO, mereka mengakui sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau menjadikan seolah-olah parti itu milik individu.
Jelasnya, sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung.
“Ahli-ahli UMNO sering dimomokkan bahawasanya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memenjarakan Najib. Tuduhan ini tidak tepat sama sekali.
“Najib dipenjara selepas Muhyiddin dipaksa meletak jawatan hasil percaturan Ahmad Zahid,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu beliau bersama sekumpulan penyokong Bossku mengadakan sidang akhbar menyeru semua ahli di bawah naungan persatuan itu untuk bersama menyokong PN.
Pada 13 Julai lalu, beliau turut memberi amaran kepada pimpinan UMNO bahawa penyokong Najib akan mengalihkan sokongan kepada PN pada PRN selepas kecewa dengan layanan Kerajaan Madani terhadap keadilan untuk Najib yang dikatakan tidak ditegakkan.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang juga anak Najib, Datuk Mohd. Nazifuddin memberitahu, sokongan umum dan akar umbi terhadap bapanya adalah besar dan mungkin melebihi sokongan kepada parti UMNO sendiri.
Dalam pada itu, Syed Muhammad Imran yang juga Ketua Cawangan UMNO Kampung Melayu Batu Caves Selatan berkata, medan PRN ini akan dijadikan referendum dan pungutan suara tidak percaya kepada Ahmad Zahid.
Justeru, beliau berharap, sokongan kepada PN akan membangkitkan semula keadilan kepada Najib mengikut lunas undang-undang.
“Proses pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu dilakukan secepat mungkin. Kami berasa tertipu kerana Ahmad Zahid mengekalkan kedudukan dengan mendapatkan kebenaran khas untuk mengekalkan jawatan.
“Perkara ini wajib kita hentikan demi masa depan UMNO. Kami harap PN dapat membawa balik kesatuan ummah dan menolak penguasaan DAP yang merupakan musuh tradisi UMNO,” katanya. – UTUSAN