BALING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dan Kuala Ketil di Baling menyaksikan kedua-dua penyandang di kerusi itu akan terus bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad dicalonkan sekali lagi oleh Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan DUN Kupang.
Beliau yang menang dengan majoriti 1,627 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan ditentang oleh Muhamad Suhaimi Hamzah daripada Pakatan Harapan (PH).
Di Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria turut dikekalkan oleh PN untuk bertanding di kawasan itu dan calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Suriati Che Mid akan memberi saingan kepada Mansor.
Manakala, satu lagi kawasan dalam Parlimen Baling iaitu DUN Bayu akan menyaksikan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian berkenaan, Mohd. Taufik Yaacob akan ditentang Datuk Ishak Mat daripada BN. –UTUSAN