KLUANG: Polis Daerah Kluang mencari sebuah kereta yang dikatakan sebagai punca kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Kilometer 73 Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi berhampiran Pekan Simpang Renggam itu melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kereta yang masih belum dikenal pasti.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa, Azmi Mohamad, 44, yang menunggang motosikal Honda Wave serta Mohamad Azri, 24, menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalan dari arah Johor Bharu ke Ayer Hitam.
“Sebaik tiba dilokasi kemalangan, kedua-dua motosikal berkenaan dikatakan bergesel antara satu sama lain kerana mengelak kereta yang membuat pusingan U.
“Bagaimana kedua-dua motosikal itu kemudiannya melanggar kereta berkenaan sehingga menyebabkan Azmi mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Bahrin lagi, Mohamad Azri turut mengalami kecederaan dalam kepala dan kini mendapat rawatan di Zon Kuning Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Ujarnya lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Usaha mengesan kereta yang dikatakan punca kemalangan tersebut dalam tindakan,” katanya. – UTUSAN