Pengamal media digalak daftar undi pos - Utusan Malaysia

Pengamal media digalak daftar undi pos

MOHD. Azlan Charles Abdullah (kanan) menyampaikan taklimat media mengenai PRN kepada pengamal media Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Golongan pengamal media digalakkan mendaftar sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd. Azlan Charles Abdullah berkata, kesibukan tugas sepanjang PRN berlangsung mungkin menyukarkan pengamal media menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi secara fizikal.

“Oleh itu, gunakan kemudahan yang ada disediakan untuk mereka kerana kita tidak mahu golongan ini terlepas mengundi.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka ada sedikit ruang waktu jika bertugas di kawasan yang sama atau berdekatan tempat mengundi, maka bolehlah pergi mengundi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program taklimat kepada lebih 60 petugas media daripada pelbagai agensi berita sempena PRN di Dewan Utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Taklimat selama tiga jam itu disampaikan Ketua Program (Pengurusan Strategik), Akademi Pilihan Raya, Raja Saera Raja Musa bertujuan memberi pendedahan mengenai tugas media sepanjang PRN dilaksanakan.

Mohd. Azlan memberitahu, permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu telah dibuka mulai 15 Jun lalu.

Katanya, tempoh pendaftaran bagi petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, polis, tentera termasuk petugas media akan berakhir pada 26 Julai ini.

“Proses permohonan juga sangat mudah dan ringkas iaitu mengisi borang 1A secara manual yang dimuat turun dari web SPR serta memberitahu pengawai pengurus pilihan raya bagi memaklumkan dan memudahkan proses pengundian nanti.

“Untuk lebih mudah, kita harap semua petugas media dapat membuat pendaftaran akaun MySPR di pautan https://myspr.spr.gov.my lebih awal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya