KEMAMAN: Penduduk di Kampung Air Putih, dekat sini, menyifatkan tragedi kepala air berdekatan Jeram Mawar sehingga menghanyutkan 10 beranak Sabtu lalu sebagai tragedi terburuk yang pernah berlaku di situ.
Seorang penduduk, Mohd Yusof Sulong, 60, berkata, sebelum ini memang pernah berlaku tragedi lemas di kawasan itu yang melibatkan seorang atau dua mangsa sahaja dan bukannya disebabkan oleh fenomena kepala air.
“Kejadian terbaharu yang berlaku pada awal tahun lalu melibatkan seorang pemancing yang tergelincir,” katanya kepada pemberita, semalam.
Menurutnya, kawasan perkelahan Jeram Mawar adalah kawasan terpencil dan lazimnya hanya dikunjungi penduduk kampung.
“Laluan masuk ke kawasan itu memang agak sukar dimasuki iaitu kira-kira 15 kilometer jalan hutan dan talian komunikasi pun tidak ada, jadi memang tak ramai yang pergi ke kawasan itu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hashimah Hasan, 56, berkata, tragedi itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat pada petang Sabtu lalu.
“Memang sebelum ini pernah berlaku kepala air, namun semua penduduk di sini sudah sedia maklum kalau berlaku hujan dan memang kami tidak pergi kawasan itu sebab bimbang berlaku kejadian tak diingini,” katanya.
Menurutnya, mangsa sekeluarga mungkin pertama kali berkelah dan mungkin juga ketika kejadian hanya keluarga itu sahaja berada di situ. – UTUSAN










