Pas minta ahli, penyokong bertenang

Pas minta ahli, penyokong bertenang

AHMAD YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas berharap para penyokong serta ahlinya kekal bertenang susulan penahanan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang turut akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Selangor, pagi ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, parti itu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Muhammad Sanusi dan mengharapkan proses perundangan akan dilaksanakan secara adil.

Katanya, parti itu turut berharap agar proses berkenaan berpegang teguh kepada prinsip keadilan mengikut undang-undang serta bebas daripada sebarang cengkaman atau pengaruh politik.

“Pas Kedah berpegang pada prinsip ‘Innocent until proven guilty’ iaitu seseorang yang dihadapkan ke mahkamah tidak boleh lagi dianggap bersalah sehingga terbukti sebaliknya.

“Kita mengharapkan untuk semua ahli serta penyokong Pas bertenang, tidak dipengaruhi emosi dan sentiasa patuh pada undang-undang negara,” katanya. 

Ahmad berkata, ahli dan penyokong Pas khususnya diajak untuk memperbanyak doa serta munajat agar Muhammad Sanusi sentiasa berada dalam lindungan Allah dan mendapat keadilan yang selayaknya sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Muhammad Sanusi ditahan polis di sebuah hotel penginapannya di satu lokasi di ibu negara awal pagi ini.

Difahamkan, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

Muhammad Sanusi hari ini dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada pukul 9 pagi dipercayai bersabit kes yang didakwa menghina kewibawaan institusi kesultanan negeri Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN