KOTA BHARU: Adik bekas Menteri Besar Kelantan Tan Sri Abdul Aziz Nik Mat, Nik Din mengambil pendekatan ‘mengunci’ mulut daripada memberikan sebarang komen berhubung isu Nik Mohamad Abduh dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Nik Din berkata, tindakan itu bertujuan mengelakkan situasi menjadi lebih keruh.
“Cukuplah setakat ini sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pulau Melaka hari ini.
Semalam arena politik Kelantan kecoh apabila video berdurasi dua minit 33 saat berkait luahan hati Nik Din selepas nama Nik Abduh tidak tercalon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.
Menerusi video itu, Nik Din turut mengajak dan merayu rakyat supaya tidak mengundi Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah itu pada PRN, 12 Ogos ini.
Tindakan itu ekoran beliau mendakwa Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas adalah individu yang menyebabkan nama Nik Abduh tercicir sebagai calon wakil rakyat.
Sebelum ini terdapat ura-ura bekas Ahli Parlimen Bachok itu akan bertanding di kerusi DUN Chempaka yang merupakan kawasan Allahyarham bapanya sebelum ini.
Mengukuhkan lagi dakwaan itu, apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Hashim Jasin mengesahkan nama Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura, sekali gus layak menjadi calon parti itu pada PRN.
Bagaimanapun, nama Nik Abduh terus tercicir daripada arena politik negara selepas namanya tidak tersenarai pada PRN.
Pada pengisytiharan calon PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, Pas turut membuat kejutan selepas menggugurkan penyandang kerusi berkenaan Ahmad Fathan Mahmood dan menggantikan dengan muka baharu iaitu Nik Asma Baharum Nik Abdullah iaitu seorang peguam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Nik Abduh mendedahkan permintaannya untuk bertanding di salah satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Pengkalan Chepa pada PRN telah ditolak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nik Abduh berkata, peringkat awal Pas bersetuju mempertimbangkan hasrat itu namun apabila nama tidak diputuskan dia berlapang dada.
Sementara itu, Mohd. Amar menafikan tuduhan mengatakan beliau menjadi punca Nik Abduh tidak menjadi calon kerusi DUN Chempaka pada PRN.
Mohd. Amar menegaskan nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu tidak tersenarai sejak awal lagi, sambil berkata Nik Din yang membuat dakwaan berkenaan tidak terbabit dalam mesyuarat selain tiada jawatan parti.
– UTUSAN