Nelayan, pemandu bas kilang tidak mengaku pukul anjing - Utusan Malaysia

Nelayan, pemandu bas kilang tidak mengaku pukul anjing

ROSLI Mat Zin (dua dari kiri) dan Suhaili Haron ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan kayu dalam kejadian minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang nelayan dan pemandu bas kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan kayu dalam kejadian minggu lalu.

Tertuduh, Rosli Mat Zin, 53, dan Suhaili Haron, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

Mengikut pertuduhan, Rosli yang bekerja sebagai nelayan manakala Suhaili yang merupakan pemandu bas kilang didakwa memukul seekor anjing yang berada di dalam longkang di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, dekat sini kira-kira pukul 8.30 malam, 8 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

TANGKAP layar video yang tular di media sosial yang memaparkan dua lelaki bertindak memukul anjing menggunakan batang kayu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Jin Hong memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang tinggi bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah beserta dengan syarat tambahan.

Hakim Mohammad Khalid kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM1,000 seorang selain memerintahkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 16 Ogos ini. sebagai tarikh sebutan semula kes dan difahamkan, kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka.

Isnin lalu, polis mengesahkan menahan tiga lelaki warga tempatan selepas disyaki menyeksa dan menzalimi seekor anjing sehingga mati menggunakan sebatang kayu yang mana video kejadian itu turut tular di laman sosial Twitter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya