GOMBAK: Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di sini bagi mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) untuk menyerahkan pencalonan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, DUN Gombak Setia dan DUN Hulu Kelang, hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN bersama ratusan kumpulan penyokong berarak kira-kira tiga kilometer menuju ke pusat penamaan calon berkenaan.
Mereka yang membawa bendera PN dan sepanduk calon bertakbir selain melaungkan ‘Cukuplah Sekali’ sebagai tanda sokongan kepada tiga calon PN iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Muhammad Hanif Jamaluddin dan Muhammad Hilman Idham.
Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor bertanding di DUN Hulu Kelang manakala Muhammad Hanif dan Muhammad Hilman masing-masing bersaing di DUN Sungai Tua dan DUN Gombak Setia. – UTUSAN










