Modul empowerNCER Akademik manfaatkan 2,600 pelajar B40

Modul empowerNCER Akademik manfaatkan 2,600 pelajar B40

Penyerahan Modul Pengukuhan Akademik Program empowerNCER Akademik Batch 3 - Package 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Seri Indera Putera bersama lima orang guru Fasilitator.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Modul pembelajaran Program empowerNCER Akademik yang digubal oleh guru-guru cemerlang Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) amat bersesuaian dengan keperluan pelajar kategori ‘Harapan Lulus (Halus) bagi mengoptimumkan keberkesanan dan kualiti modul yang digubal.

UniSZA Consultancy Sdn. Bhd. anak syarikat Unisza Holdings Sdn. Bhd. yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu kenyataannya berkata, program empowerNCER Akademik telah memberi manfaat kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) melalui bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar Program empowerNCER Akademik yang terpilih.

“Program empowerNCER Akademik ini dirumus khas oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan tujuan mengurangkan kadar kemiskinan masa hadapan melalui Pendidikan.

“Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan mampu mengeluarkan diri mereka serta keluarga dari belenggu kemiskinan,” kata Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan.

UniSZA Consultancy Sdn. Bhd. telah diberi mandat untuk melaksanakan Program empowerNCER Akademik Batch 3 – Pakej 1 tahun 2023 bagi Negeri Perlis dan 12 daerah di Kedah iaitu Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang dan Sik.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar terpilih mengoptimumkan potensi diri bagi mencapai keputusan peperiksaan yang lebih baik.

Seramai 200 orang membabitkan pelajar Perlis manakala 2,400 pelajar lagi dari Kedah akan mengikuti program peningkatan kecemerlangan akademik. Selain kelas tuisyen bagi subjek-subjek teras, kursus motivasi dan kepimpinan turut diberikan bagi menambahbaik kemahiran interpersonal dan meningkatkan semangat pelajar untuk mencapai kejayaan.

Pelancaran modul ini telah diadakan di Hotel Seri Malaysia pada 20 Mei 2023 yang dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mahadhir Ismail. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UniSZA Holdings Sdn. Bhd., Nor Irwan Adam dan Pengurus Pejabat NCIA Negeri Kedah, Zairemy Mohd Yunus,

Mahadhir pula berharap guru-guru yang terpilih akan menghargai peluang yang diberikan dan memberikan komitmen, dedikasi serta sinergi positif yang berterusan.

Dengan itu katanya, guru-guru dan empowerNCER Akademik Kedah dan Perlis mampu membuahkan hasil dalam mencapai objektif peningkatan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar-pelajar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN