STEM

Media bantu pelajar minat STEM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK 1967, Malaysia menguatkuasakan polisi 60:40 iaitu penglibatan sebanyak 60 peratus pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Walaupun sudah lebih lima dekad berlalu dan pelbagai usaha dilakukan namun, kuota itu masih gagal dipenuhi hingga kini.

Hakikatnya, tidak ramai pelajar memilih aliran sains di peringkat sekolah menengah.

Pegawai Komunikasi dan Media, Pertubuhan Ikram Malaysia, Basmin Maarof berkata, jumlah itu didapati semakin berkurangan apabila pelajar memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Malah, katanya, kebanyakan universiti mengesan pola penurunan permintaan pelajar bagi program berasaskan sains dan teknologi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih menyedihkan, ujarnya, segelintir lulusan itu turut dilaporkan tidak bekerja dalam bidang STEM selepas mereka tamat pengajian.

“STEM menarik, namun, manfaat yang ditawarkan dalam bidang ini masih tidak berupaya menarik pelajar.

“Tentunya fenomena ini akan memberi implikasi kepada takungan tenaga kerja pakar pada masa depan dan seterusnya melambatkan perancangan bagi mencapai status negara maju,” katanya baru-baru ini.

Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan menubuhkan pasukan khas bagi menyuntik kembali minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, langkah proaktif itu susulan kajian kemerosotan minat pelajar terutama di luar bandar terhadap bidang tersebut.

Terbaharu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mendedahkan penglibatan pelajar di negeri itu dalam STEM agak membimbangkan dengan hanya 27 peratus.

Beliau sekali gus mahu satu pelan tindakan bersepadu dirangka bagi memastikan sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar di Sabah mengambil aliran sains menjelang 2025.

Stigma susah, bunuh minat pelajar

Anggapan kononnya STEM sukar menyebabkan segelintir pelajar tidak yakin untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Basmin berkata, stigma itu perlu diubah kerana kesukaran dari segi akademik yang dikaitkan dengan bidang tersebut bukanlah fakta yang tepat.

Katanya, masyarakat menilai STEM sebagai subjek yang terlalu mencabar mental atau dipersembahkan dengan cara buruk sehingga meninggalkan kesan negatif.

“Secara teori, sesuatu yang sukar menjadi mudah apabila dilakukan secara berulang kali hingga mahir.

“Kita bukan mahu menjadikan STEM sesuatu yang lebih mudah, tetapi yang lebih mustahak ialah agar subjek itu mudah diterima pelajar,” katanya.

Peranan media

Drama bersiri The X-Files yang popular pada tahun 1990-an dilaporkan berjaya memupuk minat dan kesedaran mengenai STEM dalam kalangan penonton setianya.

Kajian mendapati sebanyak 43 peratus penonton wanita mahu bekerja dalam bidang itu manakala 27 peratus memilih program pengajian STEM di samping meyakinkan 24 peratus yang lain untuk menjadikannya sebagai kerjaya pilihan mereka.

Penemuan itu hasil tinjauan terhadap 2,021 responden oleh firma penyelidikan terkemuka, J.Walter Thompson Inteliligence.

Menurut Basmin, media secara halus atau terang-terangan berperanan dalam memberi panduan dan petunjuk kepada masyarakat dalam apa jua situasi.

“Bahkan, penyelidikan yang dilakukan Geena Davis Institute on Gender in Media mendapati watak, imej dan jalan cerita yang ditonjolkan dalam media berupaya membentuk cara kehidupan seharian pengguna secara mendalam.

“Jadi, tidak hairanlah apabila fenomena Scully Effect dikatakan memberi pengaruh kepada penonton dalam bidang STEM,” katanya.

Sehubungan itu, jelas Basmin, satu penyelesaian holistik dan inovasi baharu pendidikan perlu dirintis dalam usaha meningkatkan semula minat pelajar pada STEM.

Katanya, langkah itu penting bagi melahirkan bakat muda dan pemimpin masa depan yang akan memacu pembangunan negara hingga mampu bersaing di peringkat global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya