PETALING JAYA: “Semasa arwah masih boleh menulis, dia ada tinggalkan nota tertera ‘Abu, I Love You’ (Saya sayang awak) dan mengirimkan kepada anaknya yang lain.”
Demikian perkongsian detik-detik terakhir oleh anak angkat Allahyarham Mat London, Abu Hanifiah Md Saleh yang tinggal serumah dengan arwah sejak 2016.
Abu yang sudah menganggap arwah seperti seorang bapa sendiri berkongsikan pengalaman duduk bersama. Katanya, sudah menjadi rutin pada setiap pagi dia akan menyediakan makanan, ubat-ubatan yang perlu diambil serta menyusun kertas projek untuk arwah.
“Saya tinggal bersama arwah sebab hendak menuntut ilmu daripada dirinya. Semangat kental arwah memang layak dicontohi.
“Pernah pada pukul 1 hingga 3 pagi dia suruh saya cari sesuatu maklumat di google yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dia sebagai tenaga pengajar,” katanya.
Berkongsi karakter arwah semasa hayatnya, Abu yang merupakan Pengarah Yayasan Pembangunan Buku Negara berkata, arwah adalah seorang pendengar setia dan suka mengambil berat masalah orang lain.
“Arwah ini memang jenis yang suka jawab semua panggilan telefon. Sedangkan yang hubungi itu dia itu baru sahaja bergaduh dengan orang lain yang dia bercakap.
“Sampai satu tahap saya pernah cakap kenapa perlu layan sedangkan itu adalah masalah orang lain. Tapi tidak, arwah ini layan semua orang yang datang mengadu.
“Arwah memang tidak akan menghampakan pimpinannya, dia adalah pemimpin FDAM dan sudah jadi kebiasaan orang produksi sepertinya bekerja sampai pukul 1 hingga 2 pagi. Itulah semangat arwah yang sangat saya kagumi,” katanya.
Abu berkata, arwah yang pernah melanjutkan pelajaran di Rome, Itali dan London sebenarnya mewariskan ilmu dan sikap kepada anak seni yang pernah berguru dengannya.
“Kerajaan Rome pernah beri biasiswa kepada arwah untuk sambung pengajian di London. Arwah pernah mengukir nama di stesen BBC dengan membawa seluruh Buskers di London.
“Arwah memang terkenal dengan kelebihan memimpin orang lain. Itulah bakat dia. Duduk di London tidak pernah merasakan dirinya kerdil sebab dia belajar dari Rome,” katanya.
Disoal sama ada arwah ada meninggalkan sebarang hasrat, Abu berkata, arwah ada menyimpan cita-cita yang belum kesampaian untuk menghimpunkan stesen-stesen televisyen Islam di seluruh dunia.
“Arwah mahu menonjolkan bakat orang Islam kerana kita yang perlu memimpin penulisan kreatif,” kongsinya.
Mat London meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi penyakit termasuk jangkitan kuman di paru-paru di Hospital Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Terkenal dengan watak Pak Karim dalam drama bersiri Kampong Pisang Bersiri-Siri, arwah meninggalkan enam cahaya mata melalui perkahwinan pertama dengan isteri, Saodah Abdul Wahab, manakala, dua lagi anak bersama bekas isteri yang juga pelakon veteran, Fadilah Mansor.
Bagaimanapun, perkahwinan dengan Fadilah tidak bertahan lama selepas pasangan itu bercerai pada 2012.
Jenazah dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, Hulu Klang, petang tadi.
Terdahulu, jenazah diuruskan di Masjid Al-Mardhiyah di sini dan turut diziarahi oleh rakan-rakan industri seni seperti Datuk Yusof Haslam, Aziz M. Osman, Den Wahab, Bell Ngasri, Delimawati, Aznah Hamid dan ramai lagi.










