Masalah besar jika RUU Warga Emas tidak disegera

Masalah besar jika RUU Warga Emas tidak disegera

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas bagi menjaga kesejahteraan dan hak-hak golongan berkenaan selepas populasi mereka yang dijangka tinggi berikutan Malaysia sedang menuju negara tua menjelang 2030.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, Malaysia berisiko menghadapi masalah serius pada 2030 apabila populasi warga tua berusia 60 tahun dan ke atas diunjur mencapai 15 peratus atau hampir lima juta daripada keseluruhan penduduk pada tahun itu.

Justeru katanya, kepentingan akta tersebut tidak hanya berkaitan dengan aspek sosial dan kemanusiaan tetapi memainkan peranan dalam pembangunan negara yang mampan serta inklusif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tanpa undang-undang dan dasar yang memadai, kesejahteraan warga emas boleh terjejas dan negara mungkin menghadapi beban ekonomi yang lebih besar untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan serta sokongan sosial kepada populasi yang menua ini.

“Penangguhan penggubalan RUU juga boleh meningkatkan risiko penderaan dan eksploitasi terhadap warga emas tanpa perlindungan undang-undang yang kukuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mendraf RUU Warga Emas yang bertujuan menjaga kesejahteraan golongan itu.

Keselamatan sosial

Mengulas lanjut, Halim berkata, isu keselamatan sosial perlu menjadi antara perhatian utama dalam RUU berkenaan dengan langkah-langkah perlu diambil untuk melindungi warga emas daripada penderaan, penipuan dan eksploitasi sosial yang mungkin berlaku dalam masyarakat.

Beliau berkata, undang-undang harus memperkuat perlindungan bagi warga emas dan memastikan pelaku penderaan menerima hukuman setimpal.

“Kes penderaan terhadap warga emas adalah isu yang sangat serius dan memerlukan perhatian serius dari masyarakat dan pihak berkuasa.

“Perbuatan penderaan ini boleh merangkumi keganasan fizikal, pengekangan emosi, penelantaran, atau pengabaian terhadap keperluan asas warga emas,” jelasnya.

Selain itu katanya, undang-undang juga harus memastikan warga emas menerima penjagaan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk menjamin kesejahteraan mereka pada usia tua.

Malah jelasnya, RUU itu juga perlu menyediakan mekanisme untuk memberi bantuan sokongan kewangan kepada warga emas yang memerlukan dan menjalani kehidupan yang sukar ekonominya.

“Dalam proses penyusunan RUU Warga Emas, penting untuk melibatkan dan mengambil kira pandangan dari warga emas sendiri dan organisasi masyarakat yang mewakili kepentingan mereka.

“Ketika menyusun RUU Warga Emas, penting juga merujuk kepada piawaian dan standard antarabangsa yang berkaitan dengan hak asasi manusia, perlindungan warga emas, dan kesejahteraan mereka.

“Dokumen seperti Konvensyen Hak-Hak Orang Kurang Upaya dan Deklarasi Hak-Hak Warga Emas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dapat memberikan panduan yang berharga,” katanya.

Kualiti kehidupan

Beliau menambah, akta tersebut seharusnya tidak hanya berfokus kepada aspek kesihatan dan sokongan kewangan semata-mata, tetapi perlu juga mengutamakan kualiti kehidupan warga tersebut.

“Ia termasuk akses kepada rekreasi, budaya, dan peluang untuk berinteraksi sosial. Memastikan kualiti kehidupan yang baik bagi warga emas adalah aspek penting dalam menyokong kesejahteraan mereka.

“Sementara proses penggubalan RUU Warga Emas, penting juga untuk memastikan bahawa terdapat infrastruktur dan perkhidmatan yang sedia untuk menyokong implementasi akta itu.

“Ia termasuk penyediaan perkhidmatan kesihatan yang memadai, kemudahan awam yang mesra warga emas, dan sokongan untuk pengangguran atau kesihatan mental yang berkaitan dengan warga emas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×