Maritim tiga negara perlu kerjasama atasi pengaruh kuasa luar

Maritim Malaysia, Indonesia dan Singapura perlu kerjasama atasi pengaruh kuasa luar

AMINUDDIN Abdul Rashid (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dr. Aan Kurnia sempena Majlis Penyampaian Penghargaan Khas daripada Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (Bakamla) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerjasama erat antara agensi maritim tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia mampu menyekat jenayah rentas sempadan khususnya di perairan Selat Melaka dan juga Laut China Selatan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kerjasama itu telah dimulakan sejak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diwujudkan 18 tahun lalu.

Menurut beliau, kerjasama antara negara-negara rantau Asia Tenggara juga penting bagi memastikan tiada mana-mana pihak dipengaruhi negara kuasa luar yang mempunyai kepentingan tersendiri.

“Jika kita lihat kepada konflik yang berlaku di Laut China Selatan, sekiranya ada semangat ASEAN antara negara-negara serantau, kita tidak akan mudah dipengaruhi oleh kuasa negara luar.

“Dengan kekuatan kerjasama itu, mereka (kuasa luar) akan tahu bahawa kita mampu menjaga kedaulatan di Selat Melaka dan Laut China Selatan serta tidak akan memihak kepada sesiapa. Jika mereka lihat kita tidak ada hubungan yang begitu bagus, maka mudahlah mereka pengaruhi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Penghargaan Khas daripada Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (Bakamla), di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, Kepala Bakamla, Laksamana Madya Tentara Nasional Indonesia (TNI), Dr. Aan Kurnia; Komander Singapore Police Coast Guard, Senior Asisten Komisioner Cheang Keng Keong dan Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksama Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria.

Tambah Aminuddin, kerjasama erat antara agensi maritim negara-negara terlibat juga memberi kesan positif kepada ekonomi serantau apabila keyakinan terhadap aspek keselamatan di laluan perkapalan tersibuk dunia iaitu Selat Melaka meningkat.

Sementara itu, Aan Kurnia pula memberitahu, negara jiran harus mempunyai hubungan erat untuk membantu satu sama lain, tetapi dalam masa sama menghormati kedaulatan negara masing-masing.

“Langkah ini juga memberi manfaat dari segi perkongsian maklumat dan koordinasi bagi mematahkan kes jenayah rentas sempadan seperti kejayaan Maritim Malaysia membantu Bakamla menahan kapal tangki minyak berbendera Iran yang memindah minyak mentah secara haram bernilai 4.6 trilion rupiah atau RM1.38 bilion, 7 Julai lalu.

“Justeru itu, saya mengharapkan agar hubungan baik antara Malaysia, Indonesia serta Singapura terus erat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Keng Keong pula memberitahu, pihaknya memuji kejayaan hasil kerjasama antara Maritim Malaysia dan Bakamla dalam menyelesaikan kes jenayah rentas sempadan.

“Walaupun Singapura tidak terlibat secara langsung dalam operasi tersebut, tetapi kejayaan ini menunjukkan kepentingan wujudnya kerjasama erat antara agensi maritim negeri-negeri yang bersempadan kawasan perairannya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN