Malaysia berisiko hilang aset - Utusan Malaysia

Malaysia berisiko hilang aset

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berisiko kehilangan aset dan kepentingan syarikat di negara lain jika waris Kesultanan Sulu masih berdegil untuk terus membuat tuntutan RM62.59 bilion (AS$14.9 bilion) seperti diminta selama ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, justeru Malaysia perlu mengambil tindakan agresif menghentikan perbuatan itu menerusi tiga pendekatan.

Ia antaranya mengisytiharkan tindakan itu sebagai penjenayah rentas sempadan dan memfailkan saman serta mengambil injuksi kekal menghalang tuntutan berkenaan.

Katanya, langkah tersebut boleh menamatkan tindak-tanduk waris Sulu tersebut yang dilihat semakin berani membuat tuntutan tidak munasabah di sebalik proses undang-undang timbang tara yang terlalu terbuka untuk mana-mana pihak membuat tuntutan di samping merampas kepentingan milik Malaysia di mana-mana negara.

“Memandangkan undang-undang timbang tara benarkan orang ketiga menjadi funder (pembiayai), jadi kerajaan perlu meletakkan kumpulan dan pembiayai ini sebagai penjenayah rentas sempadan supaya ada elemen jenayah dalam tindakan mereka selama ini.

“Seperti difahami kumpulan ini tidak mempunyai kemam­puan kewangan tetapi menggunakan sumber lain membiayai tuntutan ini yang kosnya terlalu tinggi, maka kerjasama kerajaan antara kerajaan diperlukan agar negara lain tidak melayani tuntutan mereka di atas status jenayah ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini peguam waris Sulu, Paul Cohen berkata, tiada sebab mengapa anak guamnya perlu berputus asa kerana keputusan mahkamah setakat ini hanya menetapkan anak guam tidak boleh mengutip hutang di satu negara iaitu Belanda.

Sebaliknya kata pengamal undang-undang yang mendakwa berpangkalan di London itu, kes tuntutan anak guamnya bakal berjalan pada skala masa lebih lama di seluruh dunia.

Minggu lalu Malaysia memperoleh kemenangan berganda bagi kes Sulu apabila keputusan Mahkamah Rayuan The Hague memihak kepada negara dengan menolak terhadap pengiktirafan Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.

Namun Malaysia bakal ber­depan satu lagi prosiding di Mahkamah Luxembourg pada September ini selepas tiga keputusan di Sepanyol, Perancis dan Belanda menyebelahi kerajaan Malaysia tidak diterima waris Kesultanan Sulu.

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr. Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada waris Sulu. Pampasan tersebut membabitkan bagi tanah Sabah yang didakwa dipajak nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan Beritish.

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Ba­ron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Dalam pada itu peguam, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu me­negaskan, kerajaan tidak boleh lagi bersikap mempertahan diri sebaliknya melakukan sera­ngan balas berhubung tindakan kumpulan Sulu dengan proses perundangan antarabangsa.

Kata beliau, menerusi tindakan saman, Malaysia boleh me­nuntut ganti rugi dan ia akhir­nya boleh menyebabkan putus harapan membuat tuntutan.
Jelasnya, kerajaan tidak bo­leh memandang remeh soal itu meskipun tuntutan tersebut menyebelahi Malaysia.

“Kerajaan kena agresif dalam soal ini, mungkin waris Sultan Sulu mencari langkah lain untuk menyita kepentingan aset Malaysia di negara lain pula. Ini boleh diibaratkan langkah awal mereka untuk membuat tuntutan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN