Macam mana mahu carum jika pendapatan tidak cukup

Macam mana mahu carum jika pendapatan tidak cukup

RAMAI penghantar makanan belum membuat caruman sendiri dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebanyakan pekerja ekonomi gig tidak membuat caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun badan itu memberi Insentif Persaraan (i-Saraan) kerana terpaksa menampung pelbagai komitmen lain.

Ramai kalangan pekerja terlibat memberitahu, pendapatan mereka daripada ekonomi gig tidak menentu, tidak banyak selain perlu membelanja wang tersebut untuk menyara ahli keluarga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Mohd. Azril Ahmad berkata, kebanyakan pekerja ekonomi gig tidak mempunyai kesedaran untuk mencarum bagi tujuan simpanan di hari tua.

“Masih ramai yang tiada kesedaran mencarum walaupun sudah ada subsidi kerajaan beri. Dalam komuniti kami, saya anggarkan sekitar 70 peratus sudah pun mencarum, tetapi ramai belum bertindak kerana dalam pemikiran mereka caruman ini tidak membawa pulangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, dia sendiri tidak mencarum dalam KWSP tetapi membeli perlindungan insurans dan juga membuat caruman ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)..

Penghantar makanan Foodpanda di Petaling Jaya, Mohd. Faiz, 34, pula berkata, meskipun maklum mengenai i-Saraan, dia tidak mencarum kerana lebih memikirkan usaha menjana pendapatan untuk menanggung keluarga.

Menurutnya, macam mana dia mahu mencarum jika pendapatan diperoleh tidak cukup dan jika berlaku kecemasan.

“Pendapatan saya ini tidak menentu yang mengehadkan perbelanjaan saya. Kalau saya tetapkan pun RM300 atau kurang setiap bulan, jika ada kecemasan tiada siapa yang bertanggungjawab selain saya seorang,” katanya yang sudah bekerja selama tiga tahun sebagai penghantar makanan.

Penghantar makanan Foodpanda di Kinabatangan, Sabah, Mohd. Rizman Mohd. Taha, 29, pula berkata, trend permintaan yang kurang di kawasan itu menyukarkan niatnya untuk membuat caruman sendiri kerana hanya mampu memperoleh pendapatan kurang daripada RM150 sehari.

“Saya tidak tahu sangat bagaimana konsep i-Saraan lagi. Selain itu, saya tidak berniat mahu mencarum meskipun saya sedar ia mempunyai manfaat. Tetapi, saya melihat perkara lebih mustahak iaitu keadaan kewangan saya dan anak serta isteri yang saya perlu tanggung kerana saya tidak mempunyai pekerja tetap dan tiada majikan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, pemandu Grab dikenali sebagai Mohd. Helmi, 45, berkata, beliau mencarum di KWSP setiap enam bulan sekali dengan anggaran RM300 dengan harapan menjadi ‘perlindungan’ pada usia persaraan.

“Tidak banyak pun yang saya carum, kalau mahu mencarum setiap bulan pun, harga dan permintaan semakin kurang memberangsangkan, sebab itu saya tidak meletakkan nilai yang tetap untuk caruman,” katanya yang bekerja di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, sejumlah 70 peratus daripada 8.7 juta ahli aktif KWSP tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung perbelanjaan selepas mereka bersara.

Akhbar ini turut melaporkan dianggarkan 97 peratus atau kira-kira 1.08 juta daripada 1.2 juta pekerja ekonomi gig tidak mencarum dalam KWSP walaupun kerajaan memperkenalkan skim i-Saraan.

Menerusi i-Saraan, KWSP menggalakkan individu yang bekerja sendiri atau tiada kerja tetap mencarum secara sukarela dan kerajaan akan memberi tambahan 15 peratus daripada jumlah caruman pencarum dengan had maksimum RM300 setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN