LKIM bincang masalah lesen nelayan dengan Jabatan Perikanan

LKIM bincang masalah lesen nelayan dengan Jabatan Perikanan

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) bersama nelayan Kuala Muda selepas menyampaikan sumbangan bantuan kotak makanan dan peralatan nelayan di Majlis Rahmah Mesra MADANI Libat Urus Pengerusi LKIM bersama Nelayan Negeri Kedah di Dewan KEDA, Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perikanan bagi membincangkan masalah ketiadaan lesen dalam kalangan nelayan di negara ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada nelayan mengenai kebimbangan mereka yang terpaksa keluar menangkap ikan tanpa lesen dan berhadapan risiko ditahan dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Katanya, berdasarkan beberapa siri program libat urus bersama nelayan yang dijalankan, kebanyakan nelayan mengadu gagal mendapat lesen meskipun permohonan telah dibuat sejak lebih 10 tahun.

Namun kata beliau, isu pemberian lesen adalah di luar bidang kuasa LKIM dan melibatkan dasar yang perlu dikaji oleh kerajaan tetapi pihaknya akan cuba membantu dengan cara mengadakan perbincangan dengan agensi terlibat.

“Saya memang sokong pemberian lesen kepada lebih ramai nelayan kerana kita nak galakkan lebih ramai anak muda terlibat dalam aktiviti perikanan ini, cuma dasar negara yang tidak lagi mengeluarkan lesen kepada bot-bot kecil ini masih dilaksanakan.

“Saya difahamkan sebelum ini Jabatan Perikanan telah mengeluarkan kira-kira 1,000 lesen sampan khas kepada nelayan namun masih ramai lagi nelayan yang terpaksa beroperasi tanpa lesen,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Rahmah Mesra MADANI Libat Urus Pengerusi LKIM bersama Nelayan Negeri Kedah.

Pada majlis tersebut, seramai 40 nelayan daerah Kuala Muda menerima bantuan kotak makanan dan peralatan nelayan di bawah Program Peningkatan Pendapatan dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM54,000.

Katanya, selain lesen, masalah lain yang turut disuarakan nelayan adalah berkaitan pemberian subsidi diesel yang tidak cukup untuk menampung keperluan mereka dan isu penguatkuasaan serta pencerobohan sempadan menangkap ikan.

“Kebanyakan isu yang dibangkitkan mereka adalah melibatkan dasar-dasar negara yang memerlukan perhatian daripada kerajaan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN