KOTA TINGGI: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu penuntut di universiti yang dianjurkan tiada kena-mengena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Anwar dilihat sebagai seorang pemimpin negara yang sangat mengambil berat tentang pelajar dan orang muda.
Katanya, lawatan beliau juga adalah bertujuan untuk menerangkan hala tuju negara agar golongan tersebut dapat menyumbang kepada kejayaan negara.
“Kalau dengar ucapannya, beliau mahu pelajar menjadi kreatif, dia mahu pelajar jangan taksub tetapi pelajar mesti gunakan pemikiran, memiliki pemikiran nasional. Kalau saya pun akan cakap yang sama kerana masa depan negara bergantung kepada kita dapat lahirkan bukan sahaja kekuatan fizikal tetapi kekuatan pemikiran dan kerohanian, tiga perkara yang penting yang selari konsep madani yang kita hendak capai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Program Smart Home Schooling Tuition Sekolah-Sekolah Menengah Parlimen Kota Tinggi dan Penyampaian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta sumbangan kepada bakal Mahasiswa Golongan Sasar Parlimen Kota Tinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Jaafar Albar hari ini.
Terdahulu Mohamed Khaled mengulas mengenai gesaan seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) supaya Anwar menumpukan sepenuh perhatian ke arah menangani kesusahan rakyat dan ekonomi negara berbanding membuat lawatan ke kampus untuk bertemu pelajar.
Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh itu dilapor berkata, sesi perjumpaan Anwar dengan pelajar universiti boleh dilihat sebagai program kempen politik secara terbuka di universiti, yang bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang PRN tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau yakin dengan 107 calon daripada Barisan Nasional (BN) yang ditampilkan dalam PRN kali ini.
“Sebagai sebuah parti politik bila ada pilihan raya kita letak calon-calon kita. Ini kerana kita mempunyai keyakinan terhadap perjuangan dan sedar apa yang hendak dilakukan. Sebab itulah kita letakkan calon-calon di 107 ini dan insya-Allah banyak kawasan-kawasan itu kita telah pun ada pengalaman. Ada yang memang kita akan mudah menang, ada yang kita terima tentangan itu hakikat politik dan hakikat berdepan pilihan raya,” katanya.
Mengulas lanjut tentang kemunculan pertama Tun Dr. Mahathir Mohamad di pentas Pas malam semalam, Mohamed Khaled yang merupakan Ahli Parlimen Kota Tinggi menyifatkan mantan Perdana Menteri itu bukanlah orang yang perlu ditakuti.
“Dia (Dr Mahathir) tidak dapat berdiri atas pentas UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sebab itu dia ke pentas Pas. Dia tidak perlu kita takuti dia manusia biasa,” katanya.
Dalam kemunculan pertama di pentas PN, Dr. Mahathir menyeru pengundi agar memberi kemenangan kepada gabungan itu dalam PRN di enam negeri 12 Ogos nanti.
Bercakap di depan ribuan hadirin di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Dr. Mahathir berkata, PN perlu menyapu bersih dan menang di keenam-enam negeri terbabit. – UTUSAN










