ALOR SETAR: Kerajaan negeri perlu membuktikan kemampuan kewangan syarikat yang melabur dalam pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) untuk memastikan projek itu tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kerajaan dan rakyat pada masa hadapan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masalah untuk meluluskan projek tersebut sekiranya syarikat terlibat menunjukkan kemampanan kewangan bagi jangka masa panjang.
“Kalau tidak, ia akan jadi beban pada masa hadapan. Jadi, (ia) pandangan yang saya berikan secara terbuka kepada kerajaan negeri. Saya faham pandangan-pandangan dan projek-projek yang kerajaan negeri tumpukan termasuklah KXP dan lain-lain.
“Pandangan yang saya berikan itu terbuka tapi tumpuan saya nanti adalah untuk memastikan projek-projek ini akan berjaya mencapai kemampanan kewangan supaya ia dapat berfungsi secara swasta dengan baik tanpa memerlukan tanggungan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada program Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Negeri Kedah yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di sini hari ini.
Terdahulu pada program itu, Muhammad Sanusi menegaskan Malaysia akan terlepas peluang memiliki pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) terbesar di Asia Pasifik sekiranya pembangunan KXP tidak direalisasikan kerana projek hampir sama kini dirancang untuk diwujudkan di Kuala Namu Sumatera, Indonesia.
Sementara itu, Rafizi menegaskan, mana-mana projek mega seperti KXP termasuk melibatkan pelaburan daripada syarikat korporat perlu diteliti dengan terperinci agar tidak mendatangkan masalah sehingga menjadi projek gajah putih.
“Yang kita bimbang adalah jika projek itu nampak baik di mata kasar tetapi bila kita lihat secara terperinci, kita ada kebimbangan dari segi kemampanan kewangan. Atas sebab itu kita perlu memperincikan cadangan ini (KXP),” katanya.
Dalam perkembangan lain, kata Rafizi, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan semua negeri termasuk Kedah.
“Dasar kita adalah untuk memastikan bahawa peruntukan perbelanjaan pembangunan (untuk) negeri-negeri yang ada jurang pembangunan yang besar iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diberi keutamaan. – UTUSAN