Kurangkan subsidi hingga di bawah RM30 bilion setahun

Kurangkan subsidi hingga di bawah RM30 bilion setahun

FIRDAUSI SUFFIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mengambil langkah mengurangkan subsidi secara berperingkat bagi membolehkan jumlah subsidi yang ditanggung berada di bawah tahap RM30 bilion setahun.

Itu jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan sebelum pandemik Covid-19 dan jumlah RM30 bilion itu juga sebenarnya sudah cukup tinggi bagi memberi bebanan kewangan kepada kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, pada tahun lalu, subsidi ditanggung kerajaan mencecah RM80 bilion dan jumlah itu perlu dikurangkan dengan pelaksanaan subsidi bersasar.

Beliau berkata, memandangkan subsidi sukar untuk dimansuhkan sepenuhnya maka, langkah yang boleh diambil oleh kerajaan adalah kurangkan pemberian subsidi sehingga ia berada di bawah tahap RM30 bilion.

Untuk mencapai tahap itu, kerajaan mungkin memerlukan kira-kira lima tahun sekiranya mereka bertindak agresif untuk mengurangkan subsidi. Namun, ia bergantung kepada keadaan ekonomi global.

Firdausi berkata, subsidi memberi implikasi negatif sekiranya terus ditanggung oleh kerajaan dalam jumlah yang besar bagi tempoh berpanjangan namun, sukar untuk memansuhkan subsidi secara sepenuhnya terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Subsidi perlu dikekalkan dalam bidang pendidikan dan kesihatan bagi memastikan golongan yang kurang berkemampuan masih mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

“Tindakan memansuhkan subsidi boleh dipolitikkan dan ia akan menjadi satu isu yang besar. Malah, kejatuhan nilai ringgit pada masa ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada kerajaan dalam menampung kos import barangan yang tinggi.

“Namun, tindakan mengurangkan subsidi bukan bermakna kita dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Apabila subsidi dikurangkan maka, import negara juga berkurang.

“Justeru, kerajaan perlu memastikan dasar agro makanan berkembang dengan melabur dalam penggunaan teknologi moden bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pemberian subsidi untuk jangka masa yang panjang akan mengakibatkan kerajaan menanggung bebanan kewangan yang tinggi. Apabila bebanan kewangan terlalu tinggi maka, kerajaan akan mencari ruang untuk meningkatkan hasil dengan mengenakan cukai kepada pengguna.

Cukai yang dikenakan boleh jadi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atau GST. Apabila bebanan semakin tinggi dan kerajaan ingin mengurangkan hutang negara maka, cukai akan dikenakan terhadap rakyat.

Jelas beliau, golongan yang perlu dikenakan cukai adalah syarikat-syarikat besar yang mempunyai pendapatan yang tinggi. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN