Kuota pelajar Melayu, bumiputera dikekalkan

Kuota pelajar Melayu, bumiputera dikekalkan

ANWAR Ibrahim ketika menjawab soalan mahasiswa pada sesi dialog sempena Program Temu Anwar di UUM Sintok. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINTOK: Kerajaan berpendapat sistem kuota untuk pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu akan tempang atau tidak seimbang sekiranya sistem itu tidak dikekalkan.

“Saya sebutkan beberapa prinsip dalam Perlembagaan negara tentang jaminan peluang supaya anak-anak Melayu dan bumiputera diberikan tempat yang mampu bersaing, ini kita kekalkan.

“Kalau tidak begini, kita akan lihat kesenjangan yang berlaku seperti di Universiti Malaya pada tahun 1970-an, 1960-an (di mana) Fakulti Kejuruteraan anak Melayu zero, Fakulti Perubatan 12 peratus jadi ada usaha oleh Allahyarham (Naib Canselor Universiti Malaya) Prof Diraja Ungku Aziz dan kementerian masa itu untuk membantu anak-anak Melayu supaya boleh bersaing,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan seorang mahasiswa berkenaan sistem kuota dan meritokrasi dalam sistem pendidikan negara ketika ini ketika sesi soal jawab Program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut Anwar berkata, walaupun kuota dikekalkan, ia tidak bermakna sistem meritokrasi dimatikan dan jika ada pelajar dalam kalangan anak-anak bukan Melayu yang cemerlang, kerajaan perlu mencari kaedah untuk memberikan mereka peluang dan tidak disisihkan.

“Program kuota ini saya setuju kekalkan tetapi kita kena cari jalur lain untuk memberi ruang kepada anak-anak bukan Melayu, bukan Bumiputera yang pintar, yang keputusannya baik supaya jangan nampak tersisih,” katanya.

Anwar menegaskan sekiranya kerajaan mengambil tindakan mengetepikan dasar kuota tersebut ia dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan yang mungkin dijadikan sebagai isu dalam politik.

Tambah Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek agar mengekalkan sistem itu dan pada masa sama membuka ruang dan peluang kepada para pelajar yang mendapat keputusan baik untuk dibantu mereka melanjutkan pengajian.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, Malaysia merupakan antara negara yang terbaik layanannya kepada kumpulan minoriti, walaupun mengakui ada perkara-perkara yang boleh diperbaiki.

“Ada negara lain yang minoriti umat Islam langsung tidak mendapat tempat, tapi jangan itu kita jadikan sebagai contoh, kalau itu dijadikan contoh kita pun lembab macam dia, lemah macam dia, zalim macam dia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN