Kumpulan pertama 280 jemaah haji selamat pulang ke tanah air

Kumpulan pertama 280 jemaah haji selamat pulang ke tanah air

SYED Hamadah Syed Othman bersalaman dengan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air di KLIA Sepang. GAMBAR IHSAN TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 280 orang jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 9.45 malam tadi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, mereka merupakan kumpulan pertama jemaah tanah air yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, Arab Saudi pagi semalam.

“Kami amat bersyukur kerana operasi musim haji tahun 1444 pada kali ini berjalan dengan cukup baik tanpa ada sebarang musibah yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA di sini semalam.

Kumpulan sulung itu berlepas ke Tanah Suci pada 21 Mei lalu dengan transit di KLIA dari balai berlepas Tabung Haji masing-masing Alor Setar, Kedah dan Kota Bharu, Kelantan.

Mengulas lanjut, Syed Hamadah turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga jemaah terbabit serta rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan mereka.

Operasi kali ini ujarnya, malahan disokong pelbagai agensi kerajaan, badan korporat dan individu seperti Sahabat Maktab yang merupakan sukarelawan dari kalangan jemaah.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Arab Saudi terutamanya Kementerian Haji dan Umrah negara itu mengambil pelbagai usaha proaktif,” jelasnya.

Beliau merujuk kelancaran pergerakan hampir tiga juta jemaah dari seluruh dunia yang menunaikan fardu haji kali ini dan kembali keadaan sebelum situasi pandemik Covid-19.

Sebelum itu pada 2020 dan 2021, Arab Saudi menutup sempadannya kerana isu wabak tersebut dengan hanya membenarkan warga asing menetap di sana mengerjakan haji.

Bilangan jemaah walau bagaimanapun terhad dan pada 2022 pula, kuota untuk negara luar dihadkan 45 peratus daripada jumlah asal dengan Malaysia hanya 14,306 orang.

Tahun ini, kuota rasmi untuk Malaysia kembali kepada jumlah asal iaitu 31,600 orang dan tiada lagi peraturan larangan had usia 65 tahun ke atas bagi semua jemaah haji asing.

“Kami turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga jemaah haji yang meninggal dunia di Tanah Suci dan mendoakan agar tabah menerima ujian,” jelas Syed Hamadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya