Konsert Afgan dengan iringan pemuzik MPO Disember ini

Konsert Afgan diiringi pemuzik MPO, Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan buat pertama kali bakal berkerjasama dengan pemuzik Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) untuk konsertnya di Malaysia pada Disember ini.

Afgan menyifatkan kolaborasi itu sebagai sesuatu yang menakjubkan di samping teruja untuk kembali ke Malaysia bagi menghiburkan semua peminat.

“Tidak dinafikan, Malaysia ibarat rumah kedua saya dalam berkarya. Setiap lagu saya diterima baik dan mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat. Apatah lagi setiap kali saya menjayakan konsert di Malaysia, peminat tidak henti-henti memberikan sokongan. Itu satu penghormatan buat saya.

“Apa boleh dikatakan, untuk Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) ini, ia sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali saya bekerjasama dengan pemuzik daripada Malaysian Philharmonic Orchestra.

“Apabila dimaklumkan mereka bersetuju untuk menjayakan konsert ini, bagi saya ia sangat menakjubkan dan tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat nanti,” katanya.

Konsert Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) itu bakal diadakan di Plenary Hall, KLCC pada 2 Disember 2023. Ia dibawakan secara eksklusif oleh penganjur, Renjana Idea.

Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati kerana Afgan sekali lagi menerima pelawaan dan bersetuju untuk menjayakan konsert di sini.

“Kali ini kita mahu memberikan kelainan pada konsert Afgan. Tidak seperti dulu, tahun ini persembahan Afgan akan diiringi oleh MPO. Saya pasti deretan lagu popular Afgan itu menjadi lebih hebat dengan iringan pemuzik MPO.

“Jadi, kepada semua yang tidak dapat menyaksikan konsert sebelum ini, jangan lepaskan peluang untuk hadir pada Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Kami menjanjikan persembahan hebat daripada Afgan,” katanya.

Berbeza konsert sebelum ini, Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) bakal menyaksikan Afgan menyanyikan lagu-lagu popularnya serta penyanyi jemputan yang bakal diumumkan penganjur kelak.

Tiket menyaksikan konsert Afgan mula dijual pada 5 Julai 2023, pukul 10 pagi, di GOLIVE-ASIA.COM

Harga tiket bermula RM1488 (Lestari Merdu); RM998 (Panah Asmara); RM888 (Lenggang Puspita); RM588 (Heaven); RM338 (Knock Me Out); RM298 (M.I.A) dan RM258 (Bawalah Cintaku).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN