KKM syor guna pakai SOP kesihatan pilihan raya sedia ada

KKM syor guna pakai SOP kesihatan pilihan raya sedia ada

ZALIHA Mustafa bergambar bersama kakitangan KKM selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat KKM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) kesihatan pilihan raya sedia ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun, kementerian akan membincangkan mengenai perkara itu dengan SPR terlebih dahulu sekiranya terdapat keperluan untuk menambah baik SOP berkenaan.

“Kita ambil maklum dan SOP nya adalah sedia ada, tetapi kita juga akan berbincang jika ada atau perlu lakukan langkah-langkah berbeza daripada SOP biasa dengan SPR, MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan agensi terlibat.

“Sebagai contoh pada pilihan raya lepas, mereka yang positif dibenarkan untuk mengundi dengan langkah-langkah tertentu, jika perlu kepada prosedur lain (kita akan bincang),” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di sini hari ini.

Pada 29 Jun lalu, pemakaian pelitup muka semasa berada di dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa 5 Julai.

Zaliha berkata, di bawah penilaian semula SOP, individu yang positif Covid-19 dan mereka yang mengendalikan pesakit itu hanya dikehendaki memakai pelitup muka di lokasi berkenaan.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, segala aduan yang dikemukakan oleh pelanggan termasuk di media sosial diterima dan diambil maklum oleh KKM.

Katanya, aduan-aduan tersebut akan diteliti satu persatu berdasarkan SOP sedia ada dan seterusnya siasatan secara dalaman akan dijalankan bagi memastikan segala aduan itu adalah tulen.

“Kalau aduan itu dibawa oleh pihak luar kita juga akan ambil tindakan yang sama,” ujarnya ketika ditanya mengenai aduan-aduan berkaitan dakwaan kecuaian pihak hospital yang dilihat semakin banyak di media sosial.

Kelmarin media melaporkan, siasatan dalaman berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat kecuaian pihak hospital di Selangor adalah prosedur biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN