KKM sahkan kes keracunan makanan, kantin SK Cyberjaya tutup 14 hari

KKM sahkan kes keracunan makanan, kantin SK Cyberjaya tutup 14 hari

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan kes keracunan makanan membabitkan seramai 24 murid dari sebuah sekolah di sini, pada 27 Julai lalu.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, susulan laporan yang diterima, kantin sekolah berkenaan diarah tutup selama 14 hari mengikut Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sehingga 10 Ogos depan.

“Kita dapati 24 murid dilaporkan mengalami simptom keracunan makanan seperti cirit-birit (dan) kita menutup kantin tersebut sehingga 10 Ogos selama 14 hari.

“Siasatan sedang dijalankan dan itulah SOP (prosedur operasi standard) yang kita laksanakan iaitu menutup kantin selama 14 hari untuk memastikan kebersihan dan penyediaan makanan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau ditanya mengenai kes keracunan makanan di SK Cyberjaya yang dipercayai berlaku minggu lalu.

Terdahulu, Lukanisman merasmikan Program MySave (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) dan Taklimat kepada Pengamal Media Berkaitan Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab berkaitan Bunuh Diri di Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai keadaan murid yang mengalami keracunan makanan itu, beliau memaklumkan kesemua mereka telah sembuh dan sudah mula bersekolah selepas mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Katanya, kes masih lagi dalam siasatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sepang bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Semalam, media melaporkan lebih 50 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya dikatakan mengalami masalah keracunan selepas menjamah makanan di kantin sekolah pada minggu lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai situasi hospital swasta yang semakin sesak berikutan kekurangan jururawat, beliau berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dan buat masa ini KKM masih belum dapat memenuhi permintaan bagi membekalkan jururawat.

“Jururawat (tempatan) ini banyak (dapat) tawaran-tawaran di luar negara yang memberikan gaji (lebih tinggi) disebabkan itulah bekalan jururawat kita berdepan dengan masalah.

“Pada masa sama, jururawat keluaran KKM sememangnya perlu untuk keluar dan berkhidmat di fasiliti KKM sedia ada. Pelbagai klinik dan hospital swasta ini telah cuba untuk berjumpa dan berbincang dengan KKM bagaimana cara untuk mengatasi bekalan jururawat.

“Tetapi jururawat lepasan kolej sedia ada, memang berada di pasaran dan pihak hospital swasta boleh lah mengeluarkan tawaran dan juga iklan kerja kepada jururawat ini setimpal dengan gaji dan risiko ketika bekerja (untuk mereka),” katanya.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh mendakwa peningkatan jumlah pesakit selain kekurangan jururawat menjadi antara punca berlakunya kesesakan di hospital-hospital swasta di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Keadaan semakin membimbangkan apabila kebanyakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan ketika ini adalah mereka yang dijangkiti wabak influenza.

Masalah yang dihadapi oleh hospital ialah apabila tempoh menunggu untuk mendapatkan katil menjadi lebih lama ekoran berlakunya pertambahan pesakit sedangkan jumlah jururawat tidak mencukupi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya