Kerajaan tidak ada dasar jelas, pelabur bimbang - Wee Ka Siong

Kerajaan tidak ada dasar jelas, pelabur bimbang – Wee Ka Siong

WEE Ka Siong menunjukkan kenyataan Maybank Investment yang menimbulkan kebimbangan dan tidak ada keyakinan daripada pihak pelabur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perpaduan dilihat tidak mempunyai ketentuan politik dan dasar yang jelas untuk membawa hala tuju negara ini ke arah kestabilan ekonomi lebih baik.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu dibangkitkan melalui kenyataan Maybank Investment yang menimbulkan kebimbangan dan tidak ada keyakinan daripada pihak pelabur.

Beliau berkata, sebagai sebuah agensi pelaburan, kenyataan seumpama ini memberi kesan besar kepada rakyat terutama dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Kalau dilihat dari segi wang yang keluar dari Malaysia secara bersih berjumlah RM3.7 bilion, perbandingan tahun ke tahun. Ini angka menakjubkan.

“Tidak susah nak tengok akaun, ada pendapatan maka ada perbelanjaan. Perbelanjaan tidak menjadi satu masalah sangat. Nak belanja senang, tapi nk mendapatkan sumber pendapatan itu adalah menjadi satu cabaran.

“Kerajaan berbelanja tidak ada isu, tapi persoalannya, datang dari mana dana?” soalnya menerusi video TikTok.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank dalam e-mel kepada pelanggannya bulan ini, yang seolah-olah mengkritik dasar ‘tidak jelas’ kerajaan dan dikongsikan secara meluas di media sosial.

Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, beberapa isu lain turut menjadi kecelaruan antaranya soal kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) yang memberi kekeliruan berhubung caj bil elektrik pengguna.

Selain itu, katanya, pelaksanaan kaedah rasionalisasi petrol iaitu penggunaan kad pengenalan untuk mengisi petrol yang diumumkan kerajaan untuk diaplikasikan pada tahun depan.

“Saya nak tnya, kaedah ini pernah dibuat pada 2018-2019 ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah. Saya masih ingat RM25 juta dibelanjakan sebagai kos perunding.

“Kita pakai atau tidak? Kita nak tahu. Inilah ketentuan yang perlu dibuat oleh kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Ka Siong berkata, pelaksanaan cukai barang mewah yang dikatakan akan dimuktamadkan pelaksanaannya pada Jun 2023.

Bagaimanapun, katanya, ia masih belum dilaksanakan walaupun sudah memasuki bulan Julai dan membuktikan satu lagi kenyataan tidak jelas daripada kerajaan.

“Saya lihat semua perkara ini berkisar kepada macam mna kita nak beri keyakinan kepada orang lain dan pihak pelabur, mereka yakin mereka masuk Malaysia dan melabur di sini.

“Soal ketirisan saya sokong Perdana Menteri nak mencegah ketirisan, buat lah apa yang patut tidak ada masalah.

“Bagaimanapun, untuk jangka panjang apa yang lebih penting macam mana nak buat satu sistem untuk menambah pendapatan dan pada masa sama dapat menampung perbelanjaan yang diperlukan negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN