KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia pada Oktober ini iaitu ketika pembentangan Bajet 2024 sebagai usaha menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu bermula dari peringkat penyedia perkhidmatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran dalam tempoh empat bulan akan datang itu ditetapkan beliau bagi memastikan nasib pekerja gig dibela oleh majikan dengan sewajarnya.

Katanya, syarikat ekonomi gig tidak boleh lagi melepaskan tanggungjawab menjaga pekerjanya seperti pemandu e-hailing.
“Ada kalangan mereka ini ada diploma dan ijazah, jadi jangan pandang rendah kepada pekerja gig. Mereka bukan memilih pekerjaan ini tetapi terpaksa untuk menyara diri dan keluarga.
“Saya ingatkan para majikan, jangan tekan pekerja gig, jangan zalimi pekerja gig, jangan tidak peduli, nasib mereka mesti dibela oleh majikan,” katanya ketika merasmikan penutupan Forum Nasional: Kerangka Kerjaya Industri Gig di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Pada masa sama, beliau meminta syarikat yang mengaut keuntungan dalam industri gig supaya tidak terlalu tamak sehingga mengabaikan nasib pekerjanya.
“Kita mahu industri berteknologi tinggi, perniagaan dalam talian, sektor baharu terus dibela, pelabur-pelabur industri gig diberi perlindungan. Tetapi untung sikit cukuplah, tanpa pekerja, syarikat mereka takkan maju.
“Jangan aniaya mereka dan tak anggap sebagai pekerja kononnya bukan majikan, jadi saya arahkan menteri supaya pelaksanaan semua bidang tercakup dalam suruhanjaya ini mesti dilaksanakan pertengahan Oktober kerana mereka sudah lama sengsara,” katanya.
Terdahulu, siaran muka depan Utusan Malaysia pada 7 Julai lalu melaporkan, dianggarkan 97 peratus atau kira-kira 1.08 juta daripada 1.2 juta pekerja ekonomi gig tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun kerajaan memperkenalkan Insentif Persaraan menerusi skim i-Saraan.
Ini bermakna hampir semua pekerja ekonomi gig dengan 80 peratus membabitkan anak muda berisiko tiada simpanan minimum RM240,000 bagi menampung perbelanjaan selepas mereka mencapai usia 55 tahun. – UTUSAN